Pelaksanaan Wakaf di Malaysia Semakin Meluas

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Disember 2016 – Pembangunan institusi pendidikan menggunakan dana wakaf bukanlah suatu yang asing lagi di Malaysia, malah telah meluas pelaksanaanya.

Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf dan Endowmen, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Razali Othman berkata wakaf bukanlah perkara biasa seperti yang difikir, kerana apabila diarusperdanakan dan dijadikan KPI dalam konteks Universiti Awam, ia akan menjadi luar biasa dan mampu menjadi penanda aras bagi sebuah universiti.

“Ramai yang berfikir apabila disebut wakaf, mereka akan fikir tanah kubur dan masjid. Sebenarnya wakaf terbahagi kepada pelbagai segi, seperti wakaf tanah universiti dan kemudahan awam bagi memberi peluang kepada anak muda dan masyarakat akan datang terus mendapat manfaat,” tambah beliau.

Beliau berkata dalam konteks universiti, contohnya UPM, dana wakaf ilmu UPM bermaksud inisiatif program penjanaan dana di UPM yang mengguna pakai kaedah wakaf melalui sumbangan individu, korporat, koperasi dan badan bukan kerajaan.

“Selain itu, pulangan dari hartanah wakaf, hasil projek sektor pertanian dan perladangan, hasil projek sektor perindustrian dan pulangan portfolio pasaran wang dan modal bertujuan untuk mewujudkan suatu infrastruktur jangka panjang yang lestari bagi memenuhi sebahagian keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik melibatkan warga UPM adalah dikira wakaf,” jelasnya.

Katanya matlamat dana wakaf ilmu adalah untuk menjadi penggerak dan penganjur utama kepada amalan sedekah jariah dan pengimarahan ilmu melalui sumbangan dana wakaf dan derma, malah menyuburkan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk melaksanakan aktiviti kebajikan dan amal jariah.

“Saya berharap dana wakaf UKM mendapat tempat di hati masyarakat dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi ummah yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir ke syarahan itu adalah Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Akademik dan antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat dan Pengarah Yayasan Canselor UKM, Ahmad Zakie Ahmad Sharif.ukmnewsportal-bm
2

3