Pelancaran Bulan Merdeka Peringkat UKM Semai Semangat Patriotik
Oleh Nastura Nasir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 27 Ogos 2018 – Semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara jelas tergambar hari ini apabila warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkumpul untuk bersama-sama memeriahkan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-61 Peringkat UKM di Persada Canselori pagi tadi.
Bertepatan dengan tema Sayangi Malaysiaku dan lagu Kita Punya Malaysia masing-masing bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.
Majlis dimulakan dengan perbarisan tabik hormat dari Kontinjen Kesateria UKM yang menggabungkan pasukan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (KOR SUKSIS), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan Kor Sukarelawan Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA).
Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, Merdeka itu sendiri membawa makna mendalam buat warga UKM melalui laungan Pendaulat Amanah Negara.
Katanya, perjuangan kemerdekaan diserap dalam jiwa seluruh warga UKM bagi memastikan kelangsungan UKM sejak dari penubuhannya hinggalah ke arah universiti terbaik dunia,”
Justeru amat penting seluruh warga UKM memperingati akan setiap pengorbanan yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita kerana tanpa pengorbanan tiada kemerdekaan dapat dicapai, tiada kejayaan dapat dikecapi”, kata beliau sewaktu melancarkan majlis sambutan itu.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan multimedia oleh Pusat Teknologi Maklumat (PTM) dan deklamasi puisi oleh Pengarah Eksekutif Pentadbiran, Abdul Razak Hussin bertajuk Kemerdekaan Kita diiringi dengan alunan gemersik tiupan flut oleh Pusat Kebudayaan UKM.
Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada enam Ketua KRA dan acara ditamatkan dengan nyanyian penuh bersemangat’Kita Punya Malaysia dan Jalur Gemilang serta laungan kemerdekaan yang dipimpin oleh Tan Sri Naib Canselor.
Turut hadir pada majlis ini adalah Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pro Naib Canselor.