Pelihara Alam Sekitar Dengan Pengeluaran Lebih Lestari Minyak Sawit
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 8 Mei 2015 – Pengeluaran minyak sawit dunia perlu lebih lestari dan mampan bagi memastikan alam sekitar tidak terjejas.
Penyandang Kerusi MPOB-UKM, Prof Dr Ir Arthur P.J. Mol berkata permintaan terhadap makanan yang lestari semakin meningkat dan kerajaan perlu memikirkan corak atau sistem baru untuk memastikan makanan yang dihasilkan adalah dari sumber yang mampan.
“Apabila permintaan terhadap sesuatu produk meningkat, jadi pengeluaran produk itu juga akan naik. Tetapi adakah pengeluaran produk itu menggunakan kaedah yang lestari yang tidak mencemarkan alam sekitar?
“Jadi, kita sedang mengkaji sistem baru yang lebih lestari dan mampan dan boleh digunakan oleh kerajaan dalam rantaian makanan. Misalnya jika bahan makanan yang dipasarkan adalah daripada minyak kelapa sawit, ia mesti dibuktikan bahawa pokok kelapa sawit itu ditanam dengan cara yang lestari,” katanya semasa menyampaikan syarahan umum bertajuk Pensijilan Pasaran: Menjejaki Kelestarian Rantaian Nilai Makanan Pertanian Dunia, di sini pada 21 April lepas.
UKM dan Lembaga Minyak Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) menubuhkan Kursi MPOB-UKM untuk menjalankan penyelidikan menjadikan industri sawit bukan saja lebih menguntungkan tetapi juga mesra alam.
Kata Prof Mol penggunaan sistem baru itu tidak akan menjejaskan alam sekitar dan tidak akan menyusahkan masyarakat yang berada di sekitar ladang sawit dan sebagainya.
Sistem itu adalah sistem yang sangat sesuai untuk penghasilan minyak sawit yang berkualiti tanpa mencemarkan alam sekitar.
Penyelidikan yang dijalankan itu bukan sahaja mengkaji tentang kelestarian penggunaan bahan kelapa sawit tetapi juga merangkumi penggunaan sijil dan label pada produk makanan.
Katanya, sejak akhir-akhir ini terdapat pihak yang telah menyalahgunakan kaedah dalam pengeluaran produk makanan dan mendapatkan sijil serta label pada produk yang dikeluarkan.
“Mereka tidak menggunakan cara yang betul dalam mendapatkan sijil untuk produk makanan yang dikeluarkan. Ini adalah penipuan dan kelemahan yang besar yang boleh menyebabkan reputasi produk tersebut tercemar,” kata Prof Mol.
Beliau berkata mungkin pihak yang tidak bertanggungjawab itu mahu menjimatkan kos pengeluaran dengan menggunakan kaedah yang tidak betul dalam mendapatkan sijil. Tetapi mereka harus ingat bahawa risiko yang mereka hadapi adalah lebih tinggi kerana ia akan menyebabkan pemanasan global.
Jika sistem baru yang dirancang itu digunakan nanti, penghasilan sesuatu produk yang melibatkan penggunaan minyak sawit akan lebih mampan dan tidak mencemarkan alam sekitar.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata sistem yang sedang dikaji oleh para professor daripada negara-negara maju tersebut adalah sistem yang tidak boleh dipinggirkan oleh industri terutamanya di negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.
“Dalam konteks Malaysia, kita sedang bergerak untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Jadi, untuk menjadi bangsa yang maju itu bermaksud ilmu pengetahuan juga harus tinggi dan permintaan serta jangkaan juga bakal menjadi lebih tinggi,” kata Prof Mazlin.
Beliau berkata zaman sekarang adalah zaman masyarakat yang sentiasa membuat permintaan. Mereka mahu tahu dari mana datangnya sumber produk yang dibeli.
“Jadi, inilah yang sedang dibincangkan oleh professor-profesor daripada negara-negara maju tersebut kerana mereka telah berada di tahap yang kita baru hendak pergi,” katanya.
Beliau menambah, dalam konteks pensijilan pula, ia bukan datang dari satu bidang sahaja tetapi melibatkan dari pelbagai aspek. Di sinilah peranan kerajaan, pihak swasta mahupun para petani perlu bekerjasama dalam memastikan sistem yang digunakan itu mencapai tahap kelestarian yang digariskan.
Tidak semua sistem yang digunakan itu adalah yang terbaik tetapi kita perlu mencuba untuk melihat sejauh mana sistem itu membantu dalam pengeluaran sesuatu produk, katanya.
Prof Ir Arthur P.J. Mol adalah seorang sarjana yang terkenal di peringkat antarabangsa dalam bidang Sains Alam Sekitar. Beliau kini merupakan Pengerusi dan Profesor Polisi Alam Sekitar untuk Universiti Wageningen, Belanda. Beliau juga adalah Profesor Polisi Alam Sekitar untuk Universiti Tsinghua, China.
Pelantikan Prof Arthur Mol sebagai Pengerusi merupakan langkah yang strategik dan akan memberi dorongan terutama di peringkat antarabangsa bagi penyelidikan tentang minyak sawit.