Peluang Pekerjaan Lebih Cerah Jika Khidmat Sukarelawanan

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

PUTRAJAYA, 21 Ogos 2015 – Pelajar yang menyertai kursus kesukarelawanan mempunyai kelebihan untuk mendapat peluang pekerjaan berbanding pelajar-pelajar yang tidak mempunyai sijil tersebut.

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Lokman Hakim Ramli berkata beberapa kajian antarabangsa menunjukkan sesiapa yang sedang mencari pekerjaan dan mempunyai kemahiran kesukarelawanan mempunyai 30 peratus kemungkinan yang lebih tinggi untuk mendapatkan pekerjaan berbanding mereka yang tidak mempunyai kemahiran itu.

“Bagi yang tidak bekerja atau berhenti bekerja tetapi masih meneruskan kesukarelawanan dan kemudian mahu bekerja semula, mereka tetap mempunyai kelebihan. Jadi ini merupakan kelebihan yang kita ada sebagai ahli-ahli kesukarelawanan yang membantu khususnya golongan OKU,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Program Induksi Sukarelawan untuk Sokong Orang Kurang Upaya (SOKU) di sini pada 16 Ogos lepas.

Beliau berkata mereka yang mempunyai semangat kesukarelawanan dalam membantu masyarakat OKU, amat berdedikasi untuk melakukan sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

“Kamu (pelajar-pelajar) adalah masa depan kepimpinan negara dan kerajaan amat menyokong dalam memastikan belia mula membantu masyarakat pada usia muda.

“Kamu melalui proses penyelesaian masalah. Jadi kamu sentiasa konsisten tentang bagaimana untuk membantu masyarakat under-privileged, macam mana nak membantu OKU dan mengadakan aktiviti kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata bukan hanya kementerian atau kerajaan sahaja yang akan menjayakan setiap program tersebut tetapi semua perlu terlibat.

“Kami (kerajaan) perlukan rakan strategik untuk melakukan kerjasama yang baik dan hari ini terbukti apabila Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta  (IPTS) bersama-sama dengan kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) telah menjayakan program ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Imran Ho Abdullah berkata program ini akan dapat mendekatkan institusi pengajian tinggi dengan masyarakat.

“Saya harap program ini akan dapat diadakan lagi dengan lebih ramai penyertaan hasil kerjasama antara UA dan IPTS yang menjadikan program seperti ini lebih harmoni.

“Salah satu daripada misi UKM sebagai pendaulat amanah negara adalah penubuhan universiti ini melalui hasrat rakyat dan ditubuhkan oleh rakyat. Jadi kita perlu sentiasa bersama rakyat dalam melakukan program-program kemasyarakatan,” katanya.

Katanya UKM bukan sebuah menara gading tetapi satu institusi yang sebenarnya menggunakan ilmu dan kepakaran yang ada untuk dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Program ini memang akan mendapat sokongan dan dokongan daripada UKM melalui Pejabat Jalinan Industri dan Masyarakat. Jadi ia perlu diteruskan,” tegasnya.

Program selama dua hari yang diadakan di Kolej Antarabangsa Murni (Murni) telah disertai oleh 70 pelajar kolej itu dari pelbagai bidang pengajian.

Program Soku adalah hasil kerjasama KBS, Majlis Belia Malaysia, UKM, Murni dan Kolej Universiti Mahsa.

Antara yang turut hadir pada program itu adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia merangkap Ketua Program Induksi SOKU, Dr Aizan Sofea dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamad Maliki Mohamad Rapiee.ukmnewsportal-bm

4

2

3