Pembahagian Masa yang Bijak Resepi Kejayaan Penerima Anugerah Tun Razak


Oleh Muhammad Zaim Badrul Hisham
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 10 November 2018 – Displin membahagikan masa serta terlibat secara aktif dalam kelas adalah kunci utama kejayaan dua penerima Anugerah Tun Razak, Teh Wan Lin dan Nur Laili Arba’i pada sidang Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia kali ke-46, di Dewan Canselor Tun Abdul  Razak (DECTAR), Bangi di sini.

Anugerah Tun Abdul Razak dikurniakan kepada siswa yang menunjukan kecemerlangan pada bidang akademik, kegiatan kokurikulum serta menunjukan bakat kepimpinan yang menyerlah semasa mengikuti pengajian di universiti.

Teh Wan Lin, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia dengan Cemelang di Fakulti Sains dan Teknologi (FST) adalah pelajar cemerlang sejak di pra-universiti lagi. Keputusan yang cemerlang ketika Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) melayakkan beliau menerima biasiswa ketika di kampus.

“Ibu saya adalah ibu tunggal. Jadi saya perlu berusaha untuk mendapatkan biasiswa bagi menyara kehidupan di kampus.

“Saya juga buat kerja sambilan pada hujung minggu bagi menampung perbelajaan pengajian,” katanya.

Anak kelahiran Klang, Selangor itu turut menyatakan hasrat ingin menyambung pengajian di luar negara jika diberi peluang.

Sementara itu, bagi Nur Laili Arba’i, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan dengan Cemerlang di Fakulti Sains Kesihatan (FSK) berkata, kunci kejayaannya ialah sentiasa fokus dan buat yang terbaik dalam setiap perkara.

Anak kepada pasangan pesara kerajaan itu turut menyatakan keluarga adalah pendorong utama kejayaannya.

Beliau yang juga bekas pelajar Kolej Matrikulasi Perak (KMPk) menaruh impian untuk menyumbang dan memberikan yang terbaik kepada masyarakat dan negara dengan kelebihan yang ada pada dirinya.

“Jadi diri sendiri dan terokalah kelebihan yang ada dalam diri kerana ada kala kita tidak tahu kelebihan yang kita miliki itu sebenarnya mungkin berguna untuk masyarakat,” ujanya.