Pembekal dan Kontraktor UKM Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah
Oleh Rajan.M
Foto oleh Mohd Naqiyuddin Idris
BANGI, 5 Feb 2020 – Seramai 103 pembekal dan kontraktor berdaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen untuk menentang sebarang perlakuan rasuah.
Lafaz Ikrar dipimpin oleh Mohd Ikmal Izwan Ishak, mewakili peserta dan disaksikan oleh Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKj), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nor Lokman Samingan.
Bendahari UKM, Norini Mohamad berkata, seminar itu adalah program tahunan Jabatan Bendahari dan untuk tahun ini, buat julung kalinya seminar tersebut turut melibatkan pembekal dan kontraktor sebagai rakan pencegahan rasuah bagi memastikan pemahaman dan pematuhan terhadap Undang-Undang, peraturan dan prosedur khususnya dalam berurusan dengan pihak UKM dapat difahami.
Sementara itu, Ketua Unit Integriti UKM, Prof Madya Dr Romlah Jaffar, percaya bahawa tanggungjawab memecah rantaian rasuah adalah tanggungjawab setiap individu.
“Sekiranya tiada yang menawar maka tiada yang menerima, sama juga sekiranya tiada yang meminta, tiada yang memberi,” katanya.
Sebelum itu, peserta diberi taklimat tentang isu rasuah negara dan peruntukan baharu Seksyen 17A Akta SPRM 2000 mengenai liabitliti korporat yang akan berkuatkuasa mulai 1 Jun 2020 oleh Mohd Nur Lokman.
Majlis IBR diadakan bersempena Seminar Pengurusan Pembekal dan Kontraktor UKM 2020 anjuran Jabatan Bendahari UKM dengan kerjasama Unit Integriti UKM dan SPRM. IBR adalah inisiatif yang diperkenalkan SPRM bagi memastikan kepimpinan organisasi dan invididu akan melaksanakan tugas mereka dengan integriti dan tidak terlibat dengan rasuah.