Pembelajaran Adalah Proses Untuk Menajamkan Fikiran – Datuk Wira Wan Mohd Nor
Oleh Nadia Sapuan
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 8 Mei 2017 – Mahasiswa dan mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaysia perlu memahami tujuan mereka menuntut ilmu di universiti supaya mereka lebih bersemangat dalam pembelajaran dan menghargai ilmu tersebut di kemudian hari, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim.
Beliau berkata mahasiswa perlu memahami tujuan mereka belajar bukan semata-mata kerana ilmu sebaliknya ia adalah untuk menajamkan fikiran mereka untuk kegunaan pada masa hadapan.
“Contohnya seperti kita membuat eksperimen di makmal, itu semua adalah untuk mengasah pemikiran kita supaya menjadi tajam.
“Apabila fikiran diasah menjadi tajam, letaklah anda di mana pun, anda tetap boleh berdikari,” katanya pada program Bicara Alumni baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal berkata UKM telah menganjurkan banyak program yang melibatkan para alumni kerana ia merupakan salah satu cara untuk menghubungkan para alumni dengan mahasiswa dan mahasiswi UKM.
“Program Bicara Alumni ini adalah untuk merapatkan interaksi di antara para alumni dengan mahasiswa UKM supaya mereka dapat menjadi idola sekaligus menjadi jejak langkah kepada mahasiswa untuk cemerlang dalam kerjaya mereka pada masa akan datang,” katanya.
Beliau menambah, pihak UKM sentiasa mengalu-alukan kehadiran dan kedatangan para alumni untuk menyumbang bakti kepada UKM.
“Kekuatan sesebuah universiti terletak pada kekuatan alumninya,” katanya.