Pemilihan Daya Tindak Yang Betul Bantu Tangani Stres
Oleh Siti Aishah Mohd Yusof
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 23 September 2022 – Daya tindak yang betul dan bersesuaian mampu membantu pekerja dalam menangani stres dengan baik, kata Prof. Dr. Noor Hassim Ismail, Pensyarah di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan UKM.
Beliau berkata, seseorang pekerja tidak lari dari berhadapan dengan masalah stres, namun yang penting adalah bagaimana mereka hendak cope atau mengurangkan kesan stres terhadap mental dan fizikal mereka.
“Seseorang pekerja perlu bekerja sekurang-kurangnya lapan jam sehari, ini tidak termasuk dengan perjalanan pergi dan balik, malah ada yang terpaksa bekerja lebih masa dan semasa mereka bekerja, mereka terdedah dengan pelbagai bahaya di tempat kerja. Maka potensi untuk mereka mengalami stres itu sudah pasti ada.
“Stres ini bukan selalunya akan menjadi sesuatu yang negatif, ia juga boleh menghasilkan kesan yang positif sekiranya tuntutan atau permintaan yang ada dapat dilaksanakan. Namun sebaliknya, jika tuntutan atau permintaan yang wujud tidak dapat dipenuhi, maka stres tersebut sememangnya akan menghasilkan kesan yang negatif,” katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam Syarahan Perdana bertajuk ‘Stres Dalam Kalangan Pekerja: Antara Cabaran dan Penyelesaian’ di Bilik Senat UKM, hari ini.
Menurutnya, secara umum ada dua cara iaitu melalui strategi daya tindak yang aktif dimana pekerja tersebut akan cuba mengurangkan segala faktor-faktor yang datang dari diri mereka dan cara kedua ialah strategi daya tindak yang pasif, iaitu mereka yang berhadapan dengan stress akan cuba menidakkan masalah tersebut atau cuba menggunakan cara yang salah untuk menangani stress.
Semasa syarahan itu, beliau turut membentangkan beberapa hasil kajian yang telah dijalankan oleh pelajar beliau berkaitan stres.
Semenyata itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata dengan kepakaran yang ada pada Prof. Dr. Noor Hassim Ismail, beliau telah dilantik menganggotai pelbagai pertubuhan dan badan profesional di peringkat UKM, negara dan antarabangsa.
Majlis syarahan itu turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak.