Pemilihan MPP Sesi 2019/2020 Diuruskan Sepenuhnya Oleh Pelajar


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman

BANGI, 18 November 2019 – Buat pertama kalinya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyerahkan sepenuhnya urusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2019/2020 kepada pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MPP Sesi 2019/2020, Muhammad Khabir Hariz A Rahim berkata, proses pemilihan MPP telah dijalankan mengikut penyelarasan yang telah dibuat oleh pihak pentadbiran.

“Dari sudut pelaksanaan pula, kita telah mengambil contoh dan konsep yang telah dilaksanakan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) seperti penggunaan kertas undi yang berkonsepkan logo parti, dan bukan lagi gambar-gambar calon.

“Kita juga membenarkan pendaftaran kumpulan pelajar berkempen atas kapasiti pelajar. Jadi mereka ini tidak lagi berkempen atas kapasiti individu. Selain itu, kita juga menggunakan sistem manual yang diadaptasikan daripada sistem SPR,” katanya pada Majlis Pengumuman Pemilihan MPP Sesi 2019/2020, baru-baru ini di Dewan Gemilang.

Beliau berkata proses pengundian yang diadakan bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang telah berjalan lancar tanpa ada apa-apa perkara yang tidak diingini.

“Semua pelajar yang tinggal di kolej telah membuang undi di kolej-kolej kediaman dan pelajar yang tinggal di luar, mereka telah mengundi di kawasan yang telah ditetapkan seperti di Pusanika, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan di Dewan Tingkat 1 Blok E Kampus Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ir Dato’ Dr Othman A. Karim berkata, proses pengundian berjalan lancar walaupun tahun ini merupakan tahun pertama diuruskan sepenuhnya oleh pelajar.

“Saya berharap dan saya mahu melihat saudara dan saudari yang terpilih ini menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam menyampaikan suara dan pandangan pelajar kepada pihak pengurusan.

“Jalankanlah tanggungjawab sebagai pemimpin mahasiswa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab,” katanya.