Pemimpin Mahasiswa UKM Sertai Mesyuarat Senat


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 1 Ogos 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat julung kalinya menjemput dua wakil pelajar sebagai pemerhati ke Mesyuarat Senat universiti baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Ir Dr Othman A. Karim berkata, jemputan dua wakil pelajar dari kalangan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk turut hadir dalam Mesyuarat Senat UKM dilihat sebagai langkah mapan dalam memastikan usaha pemberdayaan pelajar yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dapat dilaksanakan secara holistik.

“Pihak pengurusan UKM menyambut baik seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berharap sumbangan idea dan pandangan wakil pelajar dalam Mesyuarat Senat secara langsung boleh memperkasa aspek hal-ehwal pelajar pada peringkat pengurusan dan pentadbiran tertinggi universiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pelajar yang telah menyertai mesyuarat tersebut, Muhammad Yusri Kornan berkata penyertaan pelajar dalam Mesyuarat Senat adalah satu penghargaan besar yang diberikan oleh pihak universiti.

“Ini menunjukkan pihak atasan universiti mengangkat suara mahasiswa untuk terlibat dengan pentadbiran universiti. Jadi, pelajar sudah ada satu medium dan perlu menggunakan peluang itu sebaiknya,” katanya.

Beliau yang merupakan Presiden MPP UKM Sesi 2018-2019 berharap supaya kepimpinan mahasiswa akan datang tidak mensia-siakan peluang yang telah diberikan tersebut.

“Segala apa perbincangan yang melibatkan mahasiswa, kita kena bagi cadangan kepada pentadbiran dan boleh dibahaskan dalam mesyuarat nanti.

“Ini adalah harapan terbesar saya dan pengalaman ini adalah pengalaman terbaik saya sebelum saya habis belajar,” kataya yang bakal menamatkan pengajian pada September ini.