Pemimpin Perlu Tahu Hala Tuju Kepimpinan – Naib Canselor UKM


Oleh Nur Batrisyia
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 2 Julai 2021 – Seseorang pemimpin perlu tahu hala tuju yang ingin dibawa semasa menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi, kata Naib Canselor, Prof Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman.

Beliau berkata di universiti, pemimpin haruslah tahu arah yang ingin dituju untuk membawa universiti itu ke hadapan.

“Jangan jadi pemimpin jika anda tidak tahu ke mana anda ingin pergi,” katanya semasa menjadi panel dalam Webinar Akademik Sempena Sambutan Jubli Emas Fakulti Perubatan (FPer) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk Kepimpinan Akademik di Universiti: Ke Arah Budaya Berprestij Tinggi.

Beliau menyebutkan tiga teori kepimpinan iaitu autokratik, laissez-faire dan demokratik.

“Mana-mana pentadbiran universiti atau pun pemimpin, tidak akan dapat lari daripada terminologi ini. Mungkin satu ketika kita akan menjadi pemimpin autokratik, kadangkala laissez-faire, dan kadang-kadang demokratik.

“Bila kita menjadi seorang pemimpin, kita mestilah menerima kepimpinan itu dan tidak meletakkan tanda sebagai seorang pemimpin yang autokratik,” katanya.

Selain itu, ujarnya, sekiranya pemimpin faham tentang konsep kepimpinan, ia tidak akan lari dengan dua konsep asas iaitu kepimpinan yang bersifat bakat dan kepimpinan yang perlu dilatih.

“Pemimpin-pemimpin yang berbakat ini jika dilantik sebagai pemimpin, mereka tahu bagaimana mereka ingin bawa konsep kepimpinan itu.

“Tetapi, bagi pemimpin yang dilatih, kita harus memberikan pendedahan kepada mereka. Sebab itulah saya percaya dalam konteks kepimpinan akademik di universiti, perwarisan lebih penting dari penggantian.

“Pemimpin-pemimpin yang berada di barisan kepimpinan tinggi di UKM haruslah mewarisi apa yang telah termaktub khususnya dalam visi dan misi serta adat dan adab kita sebagai sebuah universiti kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks kepimpinan akademik juga, ia tidak boleh hanya bercerita tentang ketokohan seseorang itu sahaja, tetapi haruslah disulamkan dengan kepimpinan dan juga governan yang jelas.

“Sekiranya seorang pemimpin itu hebat tetapi tidak disokong dengan governan yang jelas, kita akan dapati bahawa institusi itu akan mudah rapuh dan akhirnya akan runtuh,” katanya.

Webinar tersebut dirasmikan oleh Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali dan dikendalikan oleh Timbalan Dekan (Jaringan dan Alumni) Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Putih.