PEMULA@UKM Buka Peluang Keusahawanan Berteraskan Teknologi


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 11 MAC 2022 –  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut baik prakarsa Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha merancakkan ekosistem keusahawanan yang berteraskan teknologi dengan membangunkan Program Syarikat Pemula (Start-Up) atau PEMULA@UKM.

PEMULA@UKM dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar diiringi oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak dan Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman di Akademia Siber Teknopolis hari ini.

Dato’ Seri Abdul Razak berkata universiti menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan graduan yang dihasilkan berkemahiran tinggi dan kompetitif dalam bidang akademik serta mempunyai nilai tambah dengan ilmu keusahawanan yang tinggi.

“Menerusi Program PEMULA@UKM ini, warga UKM akan diberi kebenaran untuk menubuhkan syarikat pemula yang berteraskan teknologi serta bimbingan yang komprehensif akan diberikan bagi memastikan syarikat-syarikat pemula ini menjadi sebuah syarikat yang kukuh dan berdaya saing.

“Program ini pastinya akan mengubah lanskap aktiviti pengkomersialan berteraskan teknologi di UKM dengan pelaksanaan polisi dan pelan strategik yang dibangunkan dengan teliti sejak tahun 2019.

“UKM, sebagai sebuah institusi akademik dan penyelidikan yang bertaraf global akan berperanan bukan sahaja mampu melahirkan tenaga kerja profesional dan warga akademik yang prolifik bahkan turut memainkan peranan perdana dalam menjana peluang pekerjaan yang mampan menerusi aktiviti keusahawan berteraskan teknologi,” katanya.

Turut berlangsung pada majlis yang sama adalah perasmian Akademia Siber Teknopolis, pelancaran Geran Translasi UKM dan penyerahan Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Strategik Produk Inovasi UKM.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata UKM menjangkakan kerjasama antara warga akademik dengan pelajar akan mampu menubuhkan sebuah syarikat pemula yang berdaya saing di Malaysia dan antarabangsa.

“PEMULA@UKM akan beroperasi sepenuhnya di bangunan Akademia Siber Teknopolis. Proses reka bentuk bangunan ini memberi tumpuan khusus bagi menyediakan prasarana yang kondusif dalam melaksanakan penyelidikan, pembangunan serta inovasi yang dapat memberi impak kepada masyarakat, industri, agensi kerajaan dan negara.

“Geran Penyelidikan Translasi yang ditawarkan juga menjadi pemangkin kepada para penyelidik untuk menggerakkan penyelidikan yang berkeupayaan menterjemahkan output seperti pemindahan teknologi dan pengkomersialan produk, pendaftaran harta intelek, dan penghasilan kertas polisi yang menjadi penyelesaian kepada permasalahan negara, industri, dan komuniti,” katanya.

Tambah beliau, seramai 24 orang penyelidik telah berjaya membida Geran Penyelidikan Translasi pada fasa pertama dengan tema penyelidikan yang menyokong Cabaran Perdana Negara dan COVID-19.

Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM), Pusat IDEA UKM, Insitut IR 4.0 dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, merangkap Pengerusi UKM Technology Sdn. Bhd. Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pengarah INOVASI@UKM, merangkap Penyelaras Induk Program PEMULA@UKM, Prof. Madya Dr Wan Mohd Hirwani Wan Hussain.