Pendidikan Adalah Senjata Basmi Kemiskinan


Oleh : Nadia Sapuan
Foto: Ikhwan Hashim

AMPANG, 21 Mac 2017 – Biar kita mengalami kesusahan dahulu asalkan generasi anak-anak kita mendapat pendidikan yang cukup demi masa hadapan mereka yang cerah, kata Menteri Kewangan II Malaysia merangkap Menteri Mentor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Anak-anak perlu diberi pendidikan yang secukupnya agar mereka bijak dan pandai untuk mengurus kewangan mereka,” kata beliau ketika memberi ucapan dalam Majlis Perasmian Do It Together Festival anjuran Kolej Tun Syed Nasir UKM bersama beberapa badan yang berlangsung di PPR Hiliran Ampang baru-baru ini.

Tambah beliau, pendidikan yang secukupnya dapat membantu membasmi fenomena kemiskinan.

“Jangan takut serta jujur dan tulus dalam menuntut ilmu agar berjaya memperoleh kerjaya yang bagus dan sesuai dengan kelayakan anda,” nasihat beliau kepada pelajar UKM.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Seri Noor Azlan Ghazali berkata kehadiran mahasiswa dan warga pendidik UKM ke majlis tersebut adalah bertujuan untuk memenuhi janji yang dimeterai pada 40 tahun dahulu.

Beliau turut meluahkan rasa bangga terhadap mahasiswa UKM kerana memiliki kekuatan fizikal dan mental yang kuat dan prihatin terhadap masyarakat luar sekaligus membuktikan UKM sebagai pendaulat amanah negara.

Do It Together Festival adalah sebuah festival yang memaparkan empat buah program iaitu PPR Sihat, Big Heart, Simbiosis Jalanan dan Daie Milenia.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Hiliran Ampang, Haji Ismail Mohamad dan Pengetua Kolej Tun Syed Nasir, Mejar Bersekutu (PA) Dr. Shazli Ezzat Hj Ghazali.