Pendidikan Masa Hadapan Lebih Mencabar
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 15 Oktober 2018 – Dalam merangka pelan pembangunan pendidikan, para guru dan ahli akademik telah diingatkan tentang cabaran pendidikan dalam menghadapi era pendidikan masa hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia, Aminudin Adam ketika membacakan teks ucapan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, dalam merancang dan melaksanakan transformasi pendidikan, perubahaan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara perlu diambil berat.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa pendidkan masa hadapan adalah lebih mencabar, terutamanya dalam era Revolusi Industri ke-4.
“Cabaran menyediakan pendidikan berkualiti bukan sahaja untuk mencapai matlamat sekolah atau institusi, tetapi juga untuk mencapai matlamat dasar-dasar negara,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Kebangsaan Kali Ke-2 Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), di Dewan Tun Abdulllah Mohd Salleh, baru-baru ini.
Beliau berkata, semua dasar tersebut menuntut kepada pendidikan yang berkualiti bagi melahirkan warganegara yang baik, sekali gus insan yang baik.
“Pendidikan yang berkualiti akan menjadikan Malaysia lebih berdaya maju, produktif dan berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, para pelajar sama ada di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi adalah golongan sasar yang menjadi tunggak kepada pembangunan negara.
“Dalam konteks ini, UKM telah merangka pelbagai usaha untuk mempersiapkan mahasisiwa yang bakal menjadi warga pendidik dengan pelbagai aspek kemahiran termasuklah kemahiran insaniah yang merupakan salah satu kemahiran abad ke-21 yang sangat diperlukan untuk membangunkan modal insan.
“Penekanan aspek ini juga adalah selaras dengan transformasi kurikulum pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang memberi penekanan kepada konsep kemahiran insaniah, pembelajaran abad ke-21 dan kemenjadian murid yang berupaya melahirkan generasi yang mempunyai pemikiran kritis dan kreatif,” katanya.
Beliau berharap, konvensyen pada kali ini dapat mencetuskan paradigma serta menentukan hala tuju pendidikan di Malaysia selaras dengan perkembangan globalisasi dan keperluan Pendidikan Abad ke-21.