Pendidikan Seks Wajar untuk Elak Masalah Sosial
Oleh Nadia Sapuan
Foto Izwan Azman
BANGI, 2 Jun 2017 – Golongan kanak-kanak dan remaja kini wajar diberi pendedahan dalam pendidikan seks bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala dan masalah sosial yang kian meningkat dari semasa ke semasa.
Pengerusi ZuriatCARE, Tan Sri Datin Paduka Siti Saadiah Sheikh Bakir berkata ibu bapa seharusnya bersedia dan bersikap terbuka dalam isu pemberian pendidikan seks kepada anak-anak kerana walaupun ia adalah isu yang sensitif, namun ia tetap salah satu daripada cabang ilmu pengetahuan.
“Seperti yang kita faham, pendidikan seks merupakan satu isu taboo dalam kalangan masyarakat kita,tetapi pada pandangan saya setiap orang perlu diberi pendidikan seks sebagai satu langkah untuk mengelakkan mereka dari terjebak dengan masalah sosial.
“Ini berbalik pada peranan ibu bapa yang seharusnya bersikap lebih terbuka apatah lagi, anak-anak kita pada masa ini terdedah dengan pelbagai info dan maklumat yang tidak boleh ditapis menerusi internet,” katanya.
Beliau menambah, masalah pembuangan bayi luar nikah semakin meningkat apabila hampir 200,000 bayi ditemui di dalam tandas, longkang, ladang kelapa sawit dan merata-rata tempat.
Sementara itu, Pensyarah Kanan merangkap Pakar Kaunseling Pusat Penyelidikan Psikologi dan Kesejahteraan Manusia UKM, Dr Nasrudin Subhi berkata kanak-kanak pada hari ini memiliki pengetahuan yang tinggi berbanding kanak-kanak pada zaman dahulu kerana mereka boleh mempelajari sesuatu secara atas talian.
“Kita sebagai ibu bapa perlu memberi pendidikan yang sebetulnya mengenai pendidikan seks terhadap anak-anak kerana mereka lebih bijak dari kita.
“Jangan gunakan bahasa kiasan dalam mengajar mereka kerana jika terjadi kes yang melibatkan pencabulan, bahasa-bahasa kiasan seperti ‘flower‘ dan sebagainya tidak boleh diterima untuk dibawa ke pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perkongsian sempena Forum Sex Education: Yay or Nay? baru-baru ini.