Pendidikan Teras Kemajuan


Oleh Nadia Sapuan
Foto Abd. Raai Osman

BANGI, 31 Mac 2017 – Kemerdekaan Malaysia yang dikecapi hampir 60 tahun membuktikan Malaysia hampir menjadi sebuah negara maju, kata Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr Hilmi Haji Yahaya.

Beliau berkata, dalam usaha mencapai status negara maju, pelbagai kemajuan daripada semua aspek dan bidang telah dilaksanakan terutamanya bidang pendidikan.

“Di Malaysia kita menekankan aspek pendidikan di mana kita memberi peluang kepada anak-anak kita, iaitu generasi muda, untuk mendapat pendidikan.

“Di samping itu, bagi menggalakkan generasi muda melanjutkan pelajaran, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan, antaranya dengan menyediakan pinjaman wang pendahuluan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Karnival Ekspresi Mahasiswa 2017 dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dan Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM), baru-baru ini.

Beliau turut berkata halatuju baru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Transformasi Nasional 2050 (TN50), adalah salah satu langkah dalam mencapai status negara maju.

“Kita sangat menitikberatkan golongan belia, oleh itu, menerusi TN50 kita dapat duduk bersama dan berbincang dengan mereka tentang pandangan dan pemikiran mereka mengenai halatuju negara yang mereka inginkan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan untuk tidak mudah mempercayai sebarang isu yang tertular di media sosial selagi tidak mengetahui kesahihan kandungan sesuatu isu tersebut.

“Elakkan daripada membuang masa dengan berkongsi cerita di media sosial selagi kita belum pasti kesahihan sesuatu cerita tersebut kerana ia boleh fitnah ke atas seseorang,” katanya.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah dan Pengerusi YPNM Brigadier Jeneral (B) Dato’ Husainay Hashim.