Penemuan Penyelidikan Industri Sawit diterbitkan dalam 2 buah Buku


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 22 Disember 2021 – Penemuan penyelidikan industri sawit yang dijalankan melalui Kursi Endowmen MPOB-UKM telah diterbitkan melalui dua buah buku iaitu Management of Sustainable Palm Oil: Policies and Environmental Considerations dan Managing Sustainable Socio-economic Palm Oil.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malasyia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kepentingan edisi buku itu berkait kuat dengan penyelidikan berkaitan dengan sosio-ekonomi dalam industri sawit yang merangkumi pelbagai aspek dari hulu ke hilir industri sawit negara.

“Penemuan penyelidikan industri sawit ini menyerlahkan empat teras utama iaitu dasar dan peraturan, potensi perniagaan dan pendapatan, masyarakat madani dan komuniti serta kelestarian alam sekitar.

“Saya berharp maklumat yang diterbitkan daripada buku ini dapat membantu para penyelidik, pakar industri, pihak berkepentingan dan sebagainya menangani cabaran dalam membantu merangka strategi ke arah mengurus pertumbuhan industri sawit yang mampan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Buku dan Dam Sawit serta Penyampaian Hadiah bagi Pemenang Pertandingan Video Pendek Anjuran Kursi Endowmen MPOB-UKM, di sini, semalam.

Beliau turut mencadangkan supaya buku itu diterbitkan dalam edisi digital supaya ia dapat disebarluaskan kepada banyak pihak.

“Mungkin buku ini boleh diterbitkan dalam digital platform seperti PDF. Ini adalah usaha yang cukup baik untuk kita laksanakan dan lebih ramai pihak di luar sana dapat mengakses buku ini dan menilai sendiri usaha yang dibuat oleh semua yang terlibat,” katanya.

Ujarnya, beliau berharap agar Kursi Endowmen MPOB-UKM akan terus memainkan peranan utama dalam memastikan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari 2030 yang akan dicapai melalui sumbangan besar industri sawit negara.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohamad berkata beliau yakin, konsep, teori, penemuan penyelidikan dan praktis yang diutarakan dalam kedua-dua buku itu boleh dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat.

“Buku ini juga merupakan sumbangan UKM kepada khazanah ilmu yang cukup bernilai sebagai usaha membantu MPOB dan negara dalam menyelesaikan isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri sawit Malaysia,” katanya.

Buku terbitan Penerbit UKM itu diterbitkan hasil gabungan penulis dari penyelidik geran Kursi Endowmen MPOB-UKM, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan industri iaitu MPOB yang terpanggil untuk menyumbang karya bermutu berkaitan isu dalam industri minyak sawit Malaysia.

Setiap bab ditulis berdasarkan pengalaman ahli penyelidik dan juga berlandaskan penyelidikan saintifik.