Penerima Anugerah Emas Kedoktoran Gunakan Ruang Masa Berdakwah kepada Golongan OKU


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 27 November 2021 – Penerima Anugerah Emas Kedoktoran, Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-49, Dr. Syar Meeze Mohd Rashid menggunakan ruang masa yang ada untuk berdakwah kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata sepanjang pengajian Doktor Falsafah (PhD), beliau tidak hanya sekadar memfokuskan kepada pengajian semata-mata, sebaliknya menggunakan masa terluang dengan  membantu usaha dakwah kepada golongan OKU.

“Walaupun saya dalam bidang Pendidikan Khas, tetapi saya memanfaatkan bidang saya ini untuk membantu OKU mengenal kepada Pencipta (Allah) kerana apa yang saya lihat, ruang dan peluang kehidupan beragama kurang diberikan perhatian.

“Oleh itu, ini menjadi salah satu tanggungjawab dan amanah bagi saya yang berada dalam bidang Pendidikan Khas ini untuk membantu mereka berkaitan aspek kerohanian,” katanya.

Katanya, bagi membantu golongan itu, beliau bersama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH), memperjuangkan pendidikan Islam kepada kepada OKU.

“Hal ini sebenarnya memberi peluang kepada saya merentas ilmu disiplin, bukan sahaja dalam bidang Pendidikan Khas, tetapi juga kepada bidang yang lain seperti bidang Pendidikan Islam, Pengajian Quran dan Sunnah dan sebagainya bagi membantu golongan OKU mendapat ruang serta peluang hidup beragama.

“Alhamdulillah, ujian kehidupan suatu masa dahulu telah memberi kekuatan dan semangat buat saya untuk mencapai kejayaan sehingga ke peringkat ini, malah ujian itu juga menjadi pendorong untuk  saya melakukan kebaikan serta khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya penganugerahan Anugerah Emas Kedoktoran itu adalah suatu amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya dalam membantu masyarakat.

Untuk pengajian Ijazah Kedoktorannya, Dr. Syar Meeze telah membangunkan aplikasi Modul Pembelajaran Bahasa Isyarat (m-ISHARAH) untuk pelajar Sarjana Muda Pendidikan Khas.

Aplikasi m-ISHARAH adalah sebuah aplikasi modul pembelajaran bahasa isyarat mudah alih berfokuskan kepada bidang pendidikan.

Aplikasi ini berjaya menghimpunkan hampir 400 perkataan bahasa isyarat yang digunakan oleh sekolah pendidikan khas pendengaran seluruh negara. Aplikasi ini juga boleh digunakan oleh masyarakat yang berminat mempelajari bahasa isyarat dengan cepat dan mudah.

Sepanjang pengajiannya juga, Dr. Syar Meeze berjaya menerbitkan lapan makalah dalam penerbitan tersohor merangkumi makalah jurnal, buku, menyertai perbagai persidangan antarabangsa dan menerima beberapa anugerah di peringkat antarabangsa dan kebangsaan termasuklah Anugerah Tokoh Maal Hijrah kategori Anugerah Badan Sukarelawan.

Beliau banyak melakukan kerja-kerja kesukarelawanan dengan memberi pendidikan agama khusus kepada orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran.

Selain itu, beliau juga merupakan jurualih bahasa kepada slot Sejenak Minda Naib Canselor UKM dan sering dijemput sebagai penceramah dan jurubahasa isyarat di televisyen.