Penerima Anugerah Pelajaran Diraja Kongsi Liku Kehidupan


Oleh Engku Shariful Azni
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat UKM

BANGI, 16 November 2018 – Berbekalkan kecekalan hati dan usaha yang berterusan, Jason Cheong Kah Lok, 24 dan Syarifah Fatimah Syed Mad Azin, 25 telah dianugerahkan Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-46, baru-baru ini.

Jason, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Fakulti Undang-Undang, mengakui perjalanan hidupnya tidak semudah orang lain.

“Ayah saya meninggal ketika saya berusia 14 tahun, ibu saya pula bekerja sebagai seorang kerani.

“Selepas ayah meninggal, ibu yang mengambil tugas sebagai ketua keluarga untuk mencari rezeki. Jadi saya tekad untuk membela nasib keluarga,” ujarnya.

Mengakui ada satu ketika dia pernah berputus asa dan letih, Jason berkata keluarga terutama ibunya terus memberi semangat dan dorongan kepadanya untuk meneruskan perjalanan pengajiannya di UKM.

“Kejayaan saya pada hari ini adalah untuk ibu dan keluarga saya yang telah banyak membantu saya dengan memberi kata-kata semangat dan nasihat untuk saya teruskan perjuangan ini,” jelasnya.

Katanya, beliau adalah seorang yang sangat aktif dan sering menyertai program-program melibatkan ASEAN.

“Saya selalu ke luar negara. Jadi, saya perlu pandai merancang masa dan memberi keutamaan pada perkara perkara yang penting dan beri komitmen yang sewajarnya,” ujarnya.

Beliau yang kini menjalani latihan dalam kamar di Tetuan Azmi Associates memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.81 bercita-cita untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat Sarjana Undang-Undang di universiti terkemuka dunia dan ingin menjadi seorang peguam yang terkenal dan dihormati.

Berbeza dengan Syarifah pula, perjalanannya sebelum menyambung pengajian ke UKM tergendala seketika kerana ingin menjaga datuknya yang sakit ketika itu.

“Sepanjang menjaga datuk, saya juga pernah bekerja sebagai seorang guru di sekolah menengah dan penyelia di sebuah butik muslimah bagi menampung ekonomi keluarga,” katanya.

Apabila disoal tentang rahsia kejayaannya, beliau menegaskan bahawa pengurusan masa perlu efektif dan seimbang adalah penting.

Syarifah menjelaskan bahawa kesibukan dalam menyertai program bukanlah alasan untuk tidak cemerlang dalam pelajaran.

“Apa yang penting adalah pembahagian masa dengan baik. Saya mahu menukar persepsi masyarakat yang selalunya beranggapan bahawa orang yang pandai tidak mungkin aktif dalam bidang kokurikulum.

“Persepsi itu tidak tepat kerana walaupun kita aktif diluar, apabila sesi pembelajaran dalam kelas, kita perlu sentiasa fokus dan menyiapkan tugasan yang telah diberi terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti luar,” ujarnya yang memperoleh PNGK 3.99.

Syarifah Fatimah yang bercita-cita untuk menjadi seorang Pensyarah memasang impian untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi supaya ilmu yang diperolehinya dapat memberi manfaat kepada orang lain.