Penerima Anugerah Tun Abdul Razak Ikut Jejak Bapa Jadi Seorang Pendidik
Oleh Nur Batrisyia dan Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 8 April 2021 – Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Inilah peribahasa melayu yang boleh digambarkan oleh Claudya Luncha Anak Julin, graduan Fakulti Pendidikan yang menerima Anugerah Tun Abdul Razak pada Majlis Konvokesyen UKM ke-48.
Claudya Luncha, 25, telah mengikuti jejak langkah ayahnya yang merupakan pesara guru, memilih bidang pendidikan sebagai kerjaya pilihan.
“Semasa kecil, saya bercita-cita untuk menjadi seorang jururawat, tetapi disebabkan saya takut darah, saya menanam azam untuk menjadi seorang pendidik sama seperti ayah saya,” katanya.
Beliau berkata saudara maranya juga rata-ratanya adalah seorang pendidik dan cintanya terhadap bidang pendidikan membuatkan beliau melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu di UKM.
Katanya, tiga perkara yang sentiasa dipegangnya dalam melakar kejayaan ialah utamakan tuhan, ibu bapa dan pelajaran dan kerjaya.
“Bila kita ada ketiga-tiga keseimbangan ini, maka tujuan hidup kita berada pada jalan yang betul dan kita tidak akan berfikir untuk lari dari tujuan tersebut,” katanya.
Anak jati Sibu, Sarawak ini merupakan graduan yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan kepimpinan.
Dalam bidang kepimpinan, beliau adalah ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Fakulti Pendidikan. Beliau juga turut aktif dalam Persatuan Mahasiswa Sarawak, Kelab Aadyamaatra Artisukma, Bulan Sabit Merah Malaysia dan beberapa persatuan pelajar di Kolej Ibrahim Yaakub.
Claudya juga pernah mewakili UKM ke Borneo Model Meeting 2018 yang melibatkan penyertaan peserta dari negara-negara ASEAN, menyertai program mobiliti pelajar di Surabaya dan Acheh Indonesia, mewakili UKM sebagai penari dalam World Art Festival, Malaysia International Open Dance Competition, Malam Citra Bayu, FESCO, serta pernah memenangi persembahan terbaik nyanyian lagu akustik dan anugerah khas juri lagu keroncong.
“Sepanjang empat tahun saya di UKM, saya telah mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan seperti Anugerah Ikon Pelajar UKM Sesi 2019/2020, Anugerah Ikon Kebudayaan, Anugerah Ikon Avienna, Anugerah Akademik Terbaik dan Anugerah Atlet Terbaik,” katanya yang merupakan salah seorang penari Pusat Kebudayaan UKM.
Walaupun aktif dalam pelbagai berpersatuan, bagi Claudya belajar boleh di mana-mana sahaja. Dunia digital kini memudahkan beliau mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan semua tugasan tanpa had hanya di dalam bilik atau di perpustakaan.
“Kepada mahasiswa yang masih lagi belum tamat pengajian, jangan hanya tertumpu kepada bidang akademik semata-mata, sebaliknya terokalah perkara-perkara lain di UKM, kerana kita tidak tahu rezeki kita di masa akan datang.
“Penuhkanlah diri dengan pelbagai bakat dan kemahiran yang ada supaya kita tidak akan ketinggalan dengan orang lain yang diluar sana, dan kita juga boleh menjadi hebat setanding dengan mereka yang sudah hebat dan berjaya diluar sana,” katanya.
Katanya, Anugerah Tun Abdul Razak yang diterimanya itu adalah hadiah terindah dari beliau buat ibu dan ayahnya yang jauh nun di Bumi Kenyalang.