Penganjuran PERKEM-15 Bertemakan ‘Ekonomi Humanistik’ Sesuai Dengan Situasi Semasa
Oleh Mas Aliza Abu
Foto Ikhwan Hashim
Bangi, 27 Januari 2021 – Bertemakan ‘Ekonomi Humanistik’, Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) yang ke- 15 yang dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi & Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini disifatkan telah berjaya mencapai sasarannya.
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Imran Ho, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat dalam ucapan penutupnya menyatakan walaupun persidangan ini dilaksanakan semasa negara dan seluruh dunia berada dalam keadaan ketidaktentuan politik, ekonomi dan sosial akibat penularan wabak pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang warga akademik daripada menjalankan aktiviti penyebaran dan percambahan ilmu, terutamanya dalam bentuk saranan yang praktikal kepada pihak penggubal dasar dan kerajaan untuk menempuh situasi sosio dan ekonomi yang amat mencabar.
Persidangan ini yang merupakan anjuran bersama Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi, LEGASI, Hadhari Global Foundation dan ICONS, adalah satu-satunya wacana ilmiah yang memfokuskan kepada bidang ekonomi di Malaysia. Bermula dengan Siri Pertama Webinarnya yang pertama pada 5 Ogos 2020, persidangan diikuti oleh Siri Kedua Webinar pada 11 November 2020 dan Siri Ketiga Webinar pada hari ini. Aktiviti lain yang turut diadakan termasuklah Policy Round-Table Discussion (PRD) pada 30 September 2020 dan Wacana Covid-19 & Pengisytiharan Darurat Kesihatan pada 26 Januari 2021.
Menerima 73 kertas kerja dengan 63 pembentang, majlis penutup pada hari ini turut menyampaikan anugerah saguhati kertas kerja terbaik PERKEM ke-15 yang dimenangi oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) diikuti oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan gabungan penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
YB Senator Dato’ Jefridin Haji Atan selaku Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi turut menyumbangkan dana sebanyak RM 30,000 kepada PERKEM dan berharap agar platform wacana advokasi ini dapat diteruskan dan terus memberi input dan pandangan khususnya dalam penggubal polisi oleh kerajaan demi manfaat rakyat.
Persidangan yang diadakan secara dalam talian yang turut dihadiri oleh YB Senator Dato’ Jefridin Haji Atan dan mantan Naib Canselor UKM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.