Pengarah PKK UKM Tokoh Maulidur Rasul Selangor Tahun 1436 Hijrah

UKM Corporate Communications Centre Director Wins Maulidur Rasul Award1Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

SHAH ALAM, 3 Januari 2015  – Prof Datin Dr Norizan binti Abdul Razak dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menerima anugerah Saidatina Khadijah sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di sini.

Prof Dr Norizan yang baru sahaja menyandang jawatan sebagai Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UKM menerima anugerah itu secara kebetulan pada hari lahirnya yang ke-51.

Beliau seorang pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Presiden Pertubuhan Wanita E-Usahawanan yang berjuang untuk usahawan wanita.

Beliau pernah mengetuai Projek Memperkasa Ekonomi Digital Usahawan Wanita UKM, yang membuat kajian menerusi program pembangunan kemahiran digital dan telah melatih  1,500 usahawan wanita termasuk ibu tunggal untuk membangunkan laman web niaga mereka sendiri serta teknik asas fotografi.

Rektor Kolej Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Prof Dato’ Ab Halim Tamuri pula telah menerima anugerah Imam Al Ghazali manakala anugerah Saidina Ali pula diberikan kepada pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Hulu Langat, Cheras, Nur Aisyah Mohamed Ibrahim atas kecemerlangannya menjadi johan pertandingan Debat Bahasa Arab Nusantara baru-baru ini.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian.

Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan anugerah-anugerah itu.

Turut hadir Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Pengarah Jabatan Agama Islam negeri (Jais) Datuk Ahmad Zaharin serta barisan exco kerajaan negeri.
ukmnewsportal-bm