Pengerusi Baru LP UKM Lontar Cabaran Sempena Sambutan 45 Tahun UKM
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman, Izwan Azman
BANGI, 27 Mei 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diamanatkan tugas untuk menghasilkan pemenang Hadiah Nobel pertama Malaysia.
Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Dato’ Seri Dr Ibrahim Saad berkata beliau mahu melihat warga UKM memenangi hadiah Nobel.
Ketika berucap melancarkan Sambutan 45 tahun UKM serta pelancaran 45 Tahun Buku Penerbitan UKM, Dr Ibrahim berkata universiti itu jelas menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang.
Beliau melahirkan rasa bangga terhadap UKM bukan sahaja sebagai alumni tetapi sejak 45 tahun lalu pakar-pakarnya menerima pengiktirafan dalam pelbagai bidang.
“Kecemerlangan graduan ini telah meningkatkan citra UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka,” ujar beliau.
Dr Ibrahim menggantikan mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Zawawi bin Ismail yang baru sahaja bersara.
Beliau juga merupakan mantan Ketua/ Dekan Pusat Pendidikan UKM daripada tahun 1981 hingga 1983.
Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, dalam kata-kata aluannya, menyeru warga UKM supaya mendukung citra penubuhan universiti tersebut dengan menjadi Pendaulat Amanah Negara.
Menurut Prof Noor Azlan amanah dan harapan negara perlu ditafsir seiring dengan cabaran semasa dan mendatang.
“45 tahun telah mendewasakan UKM. Tahap sosio-ekonomi yang lebih tinggi, keperluan dan kehendak masyarakat yang lebih canggih, landskap persekitaran dan persaingan yang lebih getir memerlukan kita semua bersedia dan berani untuk membuat perubahan dan memikul tanggungjawab baru yang umumnya lebih mencabar,” beliau menjelaskan.
Prof Noor Azlan menggesa setiap warga UKM sama-sama menggembleng tenaga untuk tingkatkan integrasi ilmu, kepakaran dan kesarjanaan merentasi disiplin bagi mencipta penyelesaian yang bermakna dan tawaran yang bernilai tinggi.
“Kita perlu struktur operasi yang menggalakkan integrasi ini. Kita mesti meletakkan penghasilan impak yang tinggi untuk semua pemegang taruh. Mencabar kelaziman secara sistematik dengan daya inovasi dan kreativiti yang tinggi perlu menjadi lumrah dikalangan kita. Enam keberhasilan strategik yang digariskan menjadi teras kepada tindakan-tindakan kita,” beliau mengingatkan warga UKM.
Sempena sambutan 45 tahun UKM, Penerbit UKM lancarkan 45 tahun buku penerbitan UKM. Turut dilangsungkan penyampaian bendera dan replika cek oleh pasukan kayuhan amal 450 kilometer, serta pameran 45 tahun UKM.
Seramai 15 kakitangan dan pelajar UKM menyertai kayuhan amal ini yang berlangsung selama 4 hari mulai 23 Mei dan diketuai oleh Prof Dr Yang Farina Abdul Aziz dari Fakulti Sains dan Teknologi. Prof Yang Farina berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan
Pasukan ini bermula di Bangi dan menuju ke Tanjung Karang, selepas itu ke Teluk Intan, Tanjung Malim, Kuala Lumpur dan kembali ke kampus Bangi.