Pengetahuan, Sikap dan Amalan rakyat Malaysia terhadap COVID-19


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi

Siapa sangka seluruh dunia akan mengalami gelombang krisis pandemik yang akan mengubah kehidupan seluruh masyarakat pada tahun 2020 ini. Dalam usaha untuk mengurangkan tersebarnya wabak COVID-19, banyak negara telah mengenakan penutupan sempadan dan perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada penduduknya. Keberkesanan langkah-langkah pengurangan ini sangat bergantung kepada kerjasama dan kepatuhan semua anggota masyarakat.

Bagi merungkai kefahaman rakyat Malaysia berkenaan dengan pengetahuan, sikap, dan amalan masyarakat terhadap COVID-19, pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Prof Madya Dr Emma Mirza Wati Mohamad dan Dr. Arina Anis Azlan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) bersama penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis, Universiti Putra Malaysia dan Sunway University telah menjalankan kajian yang melibatkan seramai 4,850 responden dengan kajian tersebut telah tersenarai dalam artikel berimpak tinggi (Q2).

Hasil kajian mendapati 80.5 peratus rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai isu COVID-19, walaupun terdapat sedikit kekeliruan informasi mengenai virus itu yang  boleh merebak melalui udara.

Namun, sikap rakyat Malaysia terhadap COVID-19 amatlah optimis dan dapat dikawal dalam membantu kerajaan mengatasi krisis kesihatan ini.

Melalui kajian tersebut, Dr Arina Anis menjelaskan bahawa rakyat Malaysia telah mula menghindari kawasan yang sesak, mengamalkan kebersihan yang baik dan menggunakan pembersih tangan sejak seminggu sebelum PKP dilaksanakan.

“Walaupun begitu, hanya sebilangan kecil yang menggunakan topeng muka kerana itu bukan budaya biasa yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Langkah Menerapkan ‘Norma Baharu’

Dalam menghadapi perubahan kehidupan baharu ini, orang ramai disarankan mematuhi panduan 3C dan 3W kerana Kita Jaga Kita.

“Antara langkah yang boleh diambil adalah mengelakkan 3C yang merupakan tempat yang penuh sesak (crowded place), tempat yang terhad (confined space) dan perbualan yang dekat (close conversation), tetapi perlu berlatih 3W iaitu basuh tangan (wash), memakai pelitup separuh muka (wear) dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

“Mempraktikkan ini akan membantu negara dengan mengurangkan dan meratakan lekukan kes COVID-19,” kata beliau.

Katanya, masyarakat tidak boleh menyebarkan maklumat jika tidak pasti sumber maklumat tersebut.

“Pada masa ini, Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah mengambil inisiatif dalam memastikan berita yang sahih dan maklumat yang betul sahaja dikongsi kepada masyarakat.

“MKN dan KKMM amat aktif dalam mengongsikan maklumat dan berkomunikasi bersama orang ramai dan laman web portal mereka juga mempunyai site untuk mengenali dan mengawal penyebaran berita palsu,”jelas beliau.

Beliau berkata, setiap individu harus memainkan peranan dengan memikul tanggungjawab dalam usaha memeriksa berita sebelum menyebarkannya kepada keluarga dan rakan-rakan.

“Sekiranya menerima berita atau maklumat palsu oleh orang lain, anda harus menasihati mereka untuk memeriksa semula berita tersebut dan mengingatkan mereka untuk berhenti menyebarkan berita palsu,” katanya.

Dr Arina Anis turut menasihati orang ramai untuk terus mendapatkan maklumat terbaharu berkaitan novel koronavirus kerana pakar saintis masih meneruskan kajian mengenai virus yang berbahaya ini.

“Sentiasa mengambil langkah awal dan mengambil kira berita berkaitan COVID-19 kerana ia akan membantu kita untuk saling menjaga satu sama lain,” katanya.