Penggunaan Meluas Komunikasi Bimbit Dan Internet Buka Ruang Kepada Pengintipan Dan Penipuan
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 13 Mac 2015 – Penggunaan internet dan komunikasi mudah alih yang semakin meluas telah membuka ruang kepada perlakuan pengintipan, penipuan dan pengodaman yang semakin berleluasa sekarang.
Pakar Sosiologi Prof Rüdiger Korff dari Universiti Passau, Jerman berkata kerajaan dan institusi swasta sama-sama mengintip pengguna internet walaupun amalan itu adalah salah di sisi undang-undang.
Beliau memberi amaran itu ketika menyampaikan Syarahan Umumnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Berucap atas tajuk ‘Media di Asia Tenggara dan cabaran komunikasi bentuk baru’, Prof Korff berkata pendedahan oleh bekas petugas agensi perisik Amerika CIA, Edward Snowden membuktikan bahawa Amerika Syarikat turut mengintip sekutu-sekutunya.
“Jika CIA telah menggodam panggilan telefon mudah alih sekutu Amerika Syarikat, Canselor German Angela Merkel, maka mereka boleh mengintip sesiapa sahaja,” tambah Prof Korff.
Syarahannya itu dianjurkan oleh Kumpulan Penyelidikan Media dan Demokrasi dalam Nic Penyelidikan Politik dan Keselamatan, UKM.
Menjawab soalan dari Portal Berita UKM, beliau berkata, kini agak sukar untuk membezakan rakan dari musuh dalam suasana Amerika melakukan risikan meluas khususnya dalam keadaan tegang antara kuasa-kuasa besar sekarang.
Apa yang berlaku kini menunjukkan wujudnya suasana kekurangan keselamatan dalam media moden. Sungguhpun terdapat teknologi canggih, ramai masih kurang arif terhadap bahaya bagaimana ruang sesawang boleh mendedahkan kehidupan penggunanya kepada umum.
Beliau berkata komen yang di muat dalam laman media sosial boleh mendedahkan maklumat sulit seseorang yang akhirnya boleh membawa padah kepada diri mereka itu sendiri dan kedudukan organisasi di mana mereka berkhidmat.
Ditanya sama ada penggunaan meluas media sosial akan melenyapkan akhbar dan majalah atau media cetak tradisional, beliau berkata perkara itu terlalu diperbesarkan.
“Saya tidak fikir media konvensional akan hilang. Ia akan mengubah suai kepada cara baru untuk terus mendapatkan perhatian,” katanya.
Beliau berkata media cetak sejak beratus tahun sentiasa dapat menyesuaikan diri dengan cabaran yang wujud pada sesuatu waktu tertentu. Pada zaman internet ini pun ia akan dapat mengadakan strategi untuk terus kekal relevan.
“Peranti mudah alih tidak mudah dibaca waktu sarapan pagi. Mungkin dalam bidang tertentu media konvenional akan kurang mendapat sokongan tetapi akhbar dan media tradisional akan sentiasa memikirkan cara untuk menarik pembaca,” katanya.
Prof Korff mengajar di Pusat Pengajian Asia Tenggara, Fakulti Falsafah di Universiti Passau.
Beliau kerap ke Malaysia dan telah memberi ceramah di institusi lain di sini beberapa kali selain di UKM.
Pengarah Nic Penyelidikan Politik dan Keselamatan dan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Dr Rashila Ramli turut hadir mengikuti ceramahnya.