Penghidap Barah Cekal Demi Segulung Ijazah


Oleh Engku Shariful Azni

Gambar oleh Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 28 Oktober 2017 – Menghidap kanser payudara tahap tiga bukan penghalang Dr Suhaina Musani, 39, untuk menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Matematik (Statistik) di Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-45, hari ini.

Beliau menceritakan pada awalnya beliau merasakan sesuatu tidak kena dengan keadaan kesihatannya, namun tidak diendahkannya kerana terlalu tekun dan komited untuk melakukan penyelidikannya.

“Saya tidak menyedari keadaan ini sehinggalah pada Januari lalu selepas saya melakukan pemeriksaan kesihatan, saya disahkan menghidap kaser payudara tahap tiga,” jelasnya.

Walaupun begitu, Dr Suhaina tidak putus harapan dan terus berusaha untuk menamatkan pengajiannya, di samping sering ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Kanser ini satu ujian tanda Allah sayang pada kita dan rindu untuk mendengar rintihan kita.

“Kejayaan saya hari ini bukanlah hasil daripada saya seorang, tapi juga berkat doa suami, anak-anak, keluarga dan penyelia yang sangat memahami keadaan saya,” ujarnya.

Suaminya, Dr Faisol Ibrahim, 40, berkata beliau menggangap ia sebagai tanggungjawabnya untuk membantu isteri dan meringankan beban yang ditanggungnya sepanjang tempoh pengajiannya.  .

“Jika dia perlukan motivasi, saya sentiasa akan memberikan sokongan kepadanya dan saya sentiasa pastikan dia gembira tak kira apa pun,” katanya.

Dr Suhaina berhasrat untuk kembali ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana minatnya yang sangat mendalam dalam pendidikan dan penyelidikan.

Majlis Konvokesyen kali ini menghasilkan seramai 596 graduan Ijazah Doktor Falsafah daripada pelbagai bidang dan kepakaran.