Penglihatan Terhad Tidak Halang Naimah Mendapat Anugerah Dekan Setiap Semester


Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 6 Disember 2021 – Masalah penglihatan terhad sejak lahir yang dialami oleh Naimah Nizam, graduan Sarjana Muda Fakulti Pengajian Islam tidak menghalangnya dari memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester.

Naimah yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Usuluddin dan Falsafah) menjadikan kekurangan itu sebagai semangat untuk meneruskan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya sedaya upaya menghakis rasa terpinggir itu dengan cuba untuk sama-sama berada dalam kelompok rakan yang lain. Alhamdulillah, saya berjaya atasi dan sentiasa menonjolkan diri dalam Sekretariat Mahasiswa OKU sepanjang pengajian serta berjaya mendapat anugerah dekan setiap semester,” katanya.

Katanya, apabila sedar diri mempunyai kekurangan, dia perlu memilih untuk berada dalam kelompok rakan yang sentiasa menyokongnya dan perlu memberanikan diri.

Menceritakan tentang perjalanan pengajiannya, Naimah berkata dia perlu hadir ke kelas lebih awal kerana perlu duduk di barisan hadapan agar boleh nampak apa yang diajar oleh pensyarah.

Selain itu, katanya semasa tempoh pandemik COVID-19, dia mengakui bahawa dia mengalami kesukaran kerana perlu sentiasa berada di hadapan komputer.

“Keadaan itu meletihkan mata saya sehingga kerap pening. Saya nak baca bahan kuliah dalam komputer sangat susah, sangat memenatkan sebab saya melihat dengan sebelah mata, jadi dia akan jadi pening dan sakit-sakit,” katanya.

Bagaimanapun Naimah bersyukur kerana segala kemudahan yang disediakan UKM sangat kondusif dan mesra OKU.

“Saya selesa berada dalam kampus. Semua fasiliti, kakitangan UKM dan para pensyarah sangat membantu dalam segala hal,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi graduan OKU, Farah Wahida Mat Yasin berkata kekurangan yang dihadapi tidak langsung mematahkan semangatnya dan berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Syariah).

“Saya tidak boleh terlalu lama duduk secara statik dan perlu bergerak untuk tidak berasa sakit. Biasanya bila di dalam kelas, saya boleh duduk dalam tempoh sejam saja, selepas itu saya perlu bangun.

“Namun rakan dan pensyarah memahami keadaan saya. Alhamdulillah, biarpun tahap kesihatan tidak begitu baik, saya berjaya menghabiskan pengajian dan berharap semua OKU di luar sana mempunyai semangat luar biasa untuk berjaya,” katanya yang mengalami congenital scoliosis sejak lahir.

Farah Wahida juga turut memuji kemudahan yang disediakan oleh UKM terhadap warga OKU.

“Kami pelajar OKU sentiasa mendapat perhatian daripada UKM. Bantuan kewangan OKU daripada Kementerian Pengajian Tinggi pun sangat membantu dari segi wang saku dan bayaran yuran,” katanya.

Kedua-dua mereka ini adalah antara 7,709 graduan yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.