Pengurusan Risiko Tingkatkan Nilai Graduan – Prof Noor Aziah

2
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 1 Okt 2015 – Mengamalkan budaya Pengurusan Risiko oleh siswazah  boleh menambah nilai boleh pasaran mereka apabila mereka menamatkan pengajian dan mencari pekerjaan kelak.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata amalan pengurusan risiko yang baik bukan sahaja memanfaatkan pelajar malah masyarakat dan juga negara.

“Ini bermakna apabila graduan memasuki alam pekerjaan kelak, selain daripada ijazah khusus masing-masing, graduan juga akan membawa bersama budaya pengurusan risiko yang berkesan dan sekaligus akan meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Program Inter-University Explorisk 2015 di sini pada 16 September lepas.

Beliau berkata pengurusan risiko adalah penting untuk memastikan setiap tindakan yang dilakukan adalah selamat dan tidak mendatangkan masalah dengan mana-mana individu.

Katanya setiap individu mahupun organisasi mempunyai objektif dan matlamat tertentu untuk dicapai setiap hari.

“Setiap faktor yang menghalang objektif tersebut adalah risiko. Jadi, program ini akan memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang pentingnya pengurusan risiko serta menggalakkan mereka untuk berfikir secara kreatif dan kritis untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Prof Noor Aziah berkata sebagai sebuah universiti penyelidikan yang bermatlamat menjadi pusat ilmu yang terkehadapan, berteknologi dan berdaya saing, UKM sentiasa menitikberatkan aspek pengurusan risiko dalam segala aktiviti yang dilakukan.

“Ia termasuklah aktiviti pengajaran, penyelidikan, pentadbiran dan khidmat masyarakat terutamanya yang melibatkan prasarana yang lebih kondusif,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia, budaya pengurusan risiko mungkin masih ditahap awal, tetapi ia dianggap suatu aspek yang serius dan penting di kebanyakan negara maju.

“Jadi, kita perlu seiringan bagi memastikan negara kita serius dalam membudayakan amalan pengurusan risiko dalam kita bergerak mencapai status negara maju,” katanya.

Dengan tema ‘Risiko Anda, Tanggungjawab Anda’, program yang diadakan buat kali kedua itu telah menghimpunkan pelajar-pelajar dari beberapa universiti termasuklah Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, German Malaysian Institute, Kolej Poly-Tech Mara dan UKM.

Turut hadir pada program tersebut Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Kelestarian dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH) UKM, Prof Dr Amran Ab Majid, Timbalan Pegarah ROSH, Prof Dr Zaidi Isa, wakil-wakil syarikat Takaful Malaysia Berhad dan syarikat Marsh Insurance Brokers.ukmnewsportal-bm

1

3

4

5

6