Pensyarah FKAB Terima Anugerah Merdeka 2016
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 25 Oktober 2016 – Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), UKM Prof. Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud telah menerima Anugerah Merdeka 2016 yang disampaikan oleh Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizuddin Shah ibni al-Marhum Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah, baru-baru ini.
Prof. Wan Ramli menerima anugerah tersebut berdasarkan kepakaran dan penyelidikan ilmiah yang cemerlang dalam memajukan teknologi sel fuel dan tenaga hidrogen di Malaysia dan rantau ini.
Beliau berkata penyelidikan yang dilakukan adalah dalam bidang teknologi pancaran sifar dan secara spesifiknya adalah tenaga hidrogen dan teknologi sel fuel.
“Fuel sebenarnya bukanlah bahan yang dibakar tetapi bahan untuk membekalkan tenaga tanpa api,” katanya.
Beliau berkata penyelidikan itu tidak pernah habis dan berhenti kerana banyak teknologi baru akan dikembangkan dalam bidang tersebut.
“Saya mula melakukan penyelidikan sejak tahun 1995 dengan dana RM4 juta daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar untuk tempoh lima tahun.
“Kemudian, pada tahun 2002, saya menerima dana RM30 juta untuk tempoh lima tahun lagi, dan melalui dana itu saya menubuhkan Institut Sel Fuel UKM pada tahun 2006,” terangnya.
Prof. Wan Ramli berkata beliau telah menjadi mentor kepada ramai penyelidik dan pensyarah muda termasuklah Prof. D.r Siti Kartom Kamarudin yang turut sama dengannya terpilih sebagai penyelidik Malaysia yang termasuk dalam senarai Minda Saintifik Paling Berpengaruh di Dunia Thomson Reuters bagi tahun 2015.
Katanya dalam usaha untuk menjadi seorang saintis bertaraf dunia, seseorang itu perlu berfikir jauh ke hadapan dan melakukan penyelidikan di dalam bidang baru.
Sementara itu, Alumni UKM yang merupakan penerima Anugerah Naib Canselor pada Konvokesyen ke-43 tahun lepas, Koh Lily telah menerima Anugerah Geran Merdeka 2016.
Lily yang merupakan alumni dari FKAB menerima anugerah itu bagi meneruskan penyelidikan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di University of Cambridge dengan penyelidikan berkaitan Industri 4.0.
“Saya tidak menyangka akan terpilih menerima geran ini kerana 10 calon lain adalah pensyarah universiti dan mereka semua sangat hebat dalam bidang masing-masing.
“Saya akan menggunakan geran ini bagi menyiapkan penyelidikan PhD saya dengan sempurna,” katanya.