Penyelidik UKM disaran Sumbang Hasil Penemuan kepada Masyarakat


Oleh: Nastura Nasir
Foto: Shahiddan Saidi

BANGI, 30 Oktober 2018 – Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) sentiasa menggalakkan para penyelidik melaksanakan penyelidikan translasi iaitu menyumbang semula hasil dapatan penyelidikan mereka kepada masyarakat dan tidak hanya diterbitkan melalui jurnal sahaja,” kata Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr  Mohd. Ekhwan Toriman sewaktu merasmikan Minggu Penyelidikan INBIOSIS 2018.

Beliau berkata, UKM sentiasa berbangga dengan setiap institusi penyelidikannya termasuklah INBIOSIS.

“Kecemerlangan Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) dalam menghasilkam pelbagai penyelidikan bertaraf antarabangsa, kolaborasi bersama industri serta penghasilan penerbitan di jurnal yang berimpak tinggi merupakan antara penyumbang kepada kejayaan (UKM) melonjak 2 anak tangga kepada kedudukan ke-41 Universiti terbaik Asia yang diumumkan oleh QS Ranking 2018 baru-baru ini.”

“Minggu Penyelidikan INBIOSIS 2018 yang julung kali diadakan ini sangat bertepatan dengan konsep Quadra-Helix, kerjasama angtara kerajaan, Universiti, industri dan masyarakat yang sentiasa ditekankan oleh UKM,” katanya.

Menurut beliau, program ini berupaya meningkatkan jalinan penyelidikan dengan penyelidik dari institusi penyelidikan, sekolah dan industri, serta mempromosi bidang-bidang pengajian yang ditawarkan kepada umum dengan lebih meluas.

“Pihak universiti juga berperanan memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi bagi melahirkan generasi muda berminda nobelis di masa akan datang. Justeru usaha seperti ini amat bertepatan dalam meningkat minat dan tumpuan masyarakat umum tentang bioteknologi moden dan aplikasi konsep biologi sistem,” jelasnya lagi.

Minggu Penyelidikan INBIOSIS berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini, dengan tiga aktiviti yang berbeza iaitu Hari Terbuka INBIOSIS, Karnival Aspirasi Bioteknologi dan Simposium Siswazah.

Pelawat dan pelajar didedahkan dengan ceramah, demonstrasi dan aktiviti penyelidikan semasa yang dijalankan oleh felo penyelidik INBIOSIS, hasil atau produk penyelidikan serta pencapaian dan kejayaan INBIOSIS.

Melalui aktiviti yang dianjurkan juga para pengunjung dapat menyaksikan penghasilan projek penyelidikan yang mentengahkan pelbagai elemen kepakaran dan kreativiti penyelidik di INBIOSIS.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini adalah Pengarah INBIOSIS, Prof Dr Ismanizam Ismil, pengetua dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn 2, SMK Bandar Baru Sungai Long, Sekolah Menengah Sains (SMS) Seri Puteri, SMS Tuanku Munawir dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.