Penyelidik UKM Temui Rangka Manusia Prasejarah
Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Muhamed Khuzairi Shamsul Lizam
KUALA LUMPUR, 18 Disember 2018 – Rangka manusia prasejarah yang hampir lengkap yang dianggarkan berumur 6,000 hingga 8,000 tahun lalu telah ditemui oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama penyelidik-penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Warisan Negara (JWN) di Gua Chawan, Lembah Nenggiri, Ulu Kelantan, baru-baru ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penemuan rangka manusia itu adalah penemuan yang penting bagi arkeologi negara kerana dapat memberi fakta baharu terhadap amalan pengkebumian dan budaya kehidupan zaman prasejarah di Malaysia.
Ujar beliau, rangka manusia itu ditanam dalam keadaan sedikit melipat dengan bahagian muka menghala ke arah utara, manakala bahagian lutut menghala ke bahagian selatan dan posisi rangka tersebut menghadap ke bahagian kanan.
“Hasil penyelidikan, dipercayai bahawa rangka ini adalah remaja perempuan yang berumur 25 hingga 30 tahun berdasarkan tulang pelvis rangka tersebut.
“Ia dikebumikan dengan bahagian kaki dilapik dengan batu kapur serta bahagian kepala juga dilapikkan dengan batu kapur.
“Tangan kanan memegang makanan berupa siput serta alat repeh. Terdapat juga batu pengisar-memukul (grandstone-pounder) yang diletakkan di bahagian kaki sebagai alat iringan si mati,” jelasnya pada Sidang Media baru-baru ini.
Katanya, sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab, Florida, Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik.
Antara artifak lain yang ditemui bersama rangka tersebut ialah alat litik, sisa makanan berupa tulang binatang, cengkerang siput, brutia costula dan serpihan tembikar.
Alat litik yang ditemui termasuklah alat pengetuk (hammerstone), alat batu pengisar (grindstone), batu pelandas (anvil), alat batu unifas, alat batu bifas, batu pahat, mata lembing dan repeh.
Sementara itu, Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli dari ATMA UKM berkata, kawasan tersebut akan dibangunkan projek Empangan Nenggiri suatu masa nanti.
“UKM terlibat dengan projek ekskavasi menyelamat arkeologi di kawasan tersebut. Memang ada bukti kajian lepas menunjukkan masyarakat mendiami kawasan itu.
“Data yang paling awal kita dapat pentarikhan di Gua Kecil dan Gua Kubang Kelawar di Bukit Batu Tambah menunjukkan bahawa masyarakat yang terawal tinggal di kawasan itu adalah 13,000 tahun lalu iaitu pada zaman Hoabinh, Mesolitik, Neolitik dan zaman logam hinggalah ke masyarakat orang asli sekarang yang ada di situ iaitu suku kaum Temiar,” katanya.
Beliau berkata, kajian tersebut tidak tertumpu di kawasan Gua Chawan sahaja tetapi merangkumi 12 gua dalam radiun 20 kilometer persegi.