Penyelidk IMEN Terbit Makalah Dalam Jurnal Tersohor Nature Materials
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 22 September 2019 – Penyelidik Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Mohmad melakar kejayaan yang membanggakan apabila menjadi penyelidik pertama dari Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia yang berjaya menerbit dan menjadi pengarang utama dalam makalah Nature Materials.
Nature Materials adalah jurnal terbaik dunia dalam bidang Kimia Fizikal dan Fizik Gunaan, dan Dr Abdul Rahman adalah salah satu daripada dua pengarang utama dalam makalah tersebut.
Beliau telah menerbitkan makalah berjudul Ultra high-current-density niobium disulphide catalysts for hydrogen evolution, iaitu penyelidikan yang berpotensi mengurangkan kos penghasilan tenaga hijau yang digunakan dalam pelbagai bidang terutama bahan api kenderaan.
Dr Abdul Rahman berkata, penyelidikan itu bakal memberi kesan langsung kepada industri tenaga hijau di Malaysia dan luar negara kerana ianya berpotensi mengurangkan kos penghasilan tenaga hijau.
“Hidrogen adalah agen utama dalam pelbagai proses industri seperti industri penapisan, industri kimia, pemprosesan makanan, sektor elektronik dan lain-lain. Majoriti hidrogen dihasilkan gas asli tetapi kita berjaya menemui kaedah lestari melalui proses elektolisis,” katanya.
Beliau berkata, melalui makalah itu juga telah dinyatakan mengenai hidrogen dihasilkan menggunakan niobium disulfide.
“Dua kejayaan penting kajian ini adalah menggunakan bahan kos rendah 100 kali ganda lebih berdaya saing tetapi menghasilkan prestasi setanding menggunakan platinum,” ujar Dr Abdul Rahman.
Penerbitan makalah tersebut adalah hasil kolaborasi penyelidikan dengan beberapa universiti terkemuka dunia di Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Korea yang telah bermula pada tahun 2016.