Perang Syria Bukan Lagi Perang Saudara
Oleh Nadia Sapuan
BANGI, 11 Mei 2017 – Krisis peperangan di Syria, sebuah kisah tragis yang bermula pada tahun 2011, mungkin akan berlanjutan sehingga beberapa dekad lagi.
Mahamad Nour Rajab, seorang rakyat Syria yang kini menetap di Malaysia, berkata peperangan yang menyebabkan banyak pertumpahan darah itu akan berlanjutan sehingga beberapa dekad lamanya kerana melibatkan banyak pihak.
“Saya percaya tidak akan ada mana-mana pihak yang dapat menjawab bila krisis ini akan berakhir tetapi pada akhirnya nanti, saya yakin akan berlaku pembahagian demografi di Syria dan pembahagian tersebut berlaku disebabkan oleh situasi peperangan yang rumit.
“Disebabkan oleh terlalu banyak pihak yang terlibat dalam perang ini, telah menyebabkan kumpulan-kumpulan ini sendiri tidak mengetahui dengan siapa mereka berlawan dan berperang,” katanya.
Beliau turut berkata peperangan yang berlaku itu tidak lagi dikenali sebagai perang saudara sebaliknya ia kini boleh digelar sebagai perang proksi kerana terlalu banyak pihak yang terlibat dalam peperangan itu.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman dan pandangan sebagai seorang rakyat Syria dalam Program MENA Roundtable Series 1/2017 yang bertemakan Crisis in Syria: When Will It End? baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Sani Araby Al-Kahery menjelaskan bahawa situasi peperangan yang berlaku di Syria dan Gaza adalah berbeza kerana corak peperangan di Syria sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
“Kita tidak akan dapat menjawab bila peperangan ini akan berakhir kerana setiap peperangan yang berlaku itu tidak pernah memberi tanda bila ia akan berakhir, tetapi yang pasti kita perlu berfikir bagaimana untuk membantu mereka, sama ada dari segi makanan, pendidikan dan sebagainya,” katanya.
Katanya kini ramai rakyat Malaysia turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan ke negara-negara yang sedang menghadapi krisis seperti Syria dan Rohingya.
MENA Rountable Series 1/2017 adalah anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), bertujuan untuk untuk berbincang, berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai isu-isu di Syria.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah IKMAS, Prof Dato’ Dr Rashila Ramli dan seorang lagi penceramah, Wartawan Bebas, Chris Lau.