Perdana Menteri Seru Graduan Rebut Peluang Sertai Program PENJANA KPT-CAP


Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi

BANGI, 28 September 2020 – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyeru para graduan merebut peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan dengan menyertai Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi – Career Advancement Programme (KPT-CAP) bagi mendapatkan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, program PENJANA KPT-CAP yang julung kali diadakan itu adalah unik kerana para graduan dipastikan akan memperoleh pekerjaan setelah menamatkan dengan jayanya kursus-kursus yang ditetapkan.

“Saya menyeru kepada semua graduan tahun 2019 dan 2020 yang belum bernasib baik mendapat pekerjaan, manfaatkanlah peluang ini untuk menambah kemahiran dan nilai kompetensi, seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran diri masing-masing,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran PENJANA KPT-CAP di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Noraini Ahmad, Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata, kursus-kursus yang ditawarkan itu sebenarnya direka bentuk mengikut kehendak dan keperluan yang ditetapkan oleh syarikat-syarikat yang bakal mengambil graduan tersebut sebagai pekerja mereka.

“Contohnya kursus Smart Trucker, kandungan pengajaran dalam kursus ini direka bentuk berdasarkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh syarikat logistik yang mengeluarkan Letter of Commitment (LOC) kepada KPT. Jadi, habis sahaja tempoh kursus, graduan tadi akan ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat logistik tersebut,” katanya.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa para graduan sudah boleh memohon program KPT-CAP ini melalui portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREat) selepas majlis pelancaran tersebut.

Katanya, KPT sedang giat membangunkan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 bagi memastikan kesinambungan agenda keusahawanan di IPT melalui Pelan Tindakan yang akan tamat pada tahun ini.

“Saya berharap pelan tindakan yang akan dihasilkan itu berupaya memartabatkan agenda keusahawanan di IPT secara lebih menyeluruh melalui pengukuhan ekosistem keusahawanan yang lengkap,” ujarnya.

Dalam ucapannya juga, Tan Sri Muhyiddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada UKM yang telah menyambut Sambutan Jubli Emas pada 18 Mei lepas dan melihat sambutan itu adalah signifikan dengan kejayaan membanggakan UKM yang telah menempatkan diri dalam kelompok 1 peratus teratas universiti terbaik di dunia iaitu pada kedudukan ke-141 dalam QS World Universiti Rankings 2019/2020.