Pereka Kanan UKM Menang Reka Cipta Logo Semarak 50 tahun UKM


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Ikhwan Hashim, Izwan Azman

BANGI, 24 Mei 2019- Pereka Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Khalid Hasim telah mengetepikan 200 rekaan logo yang lain selepas diumumkan sebagai Johan dalam Pertandingan Mereka Cipta Logo Sambutan Jubli Emas UKM, baru-baru ini.

Khalid berkata, penggunaan idea dan konsep logo tersebut merangkumi ciri-ciri UKM iaitu dari segi penggunaan warna dan infrastruktur sebagai ikon.

“Kalau anda lihat logo 50 tahun itu, terdapat titik-titik menunjukkan percambahan pada peringkat awal yang melambangkan pelajar, warga UKM dan Pensyarah manakala condongan titik-titik sebanyak 45 darjah ke atas itu menunjukkan pencapaian kecemerlangan secara konsisten,” katanya selepas Majlis Program Semarak 50 Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)di Persada, Bangunan Canselori.

Katanya, ciri-ciri dalam logo tersebut adalah melambangkan UKM, iaitu warna dominan merah, kuning dan sian (cyan) terdapat dalam logo UKM.

“Elemen warna tersebut saya terjemahkan dalam logo 50 tahun UKM sebagai ciri-ciri yang perlu ada dalam logo itu supaya nampak harmoni dan konsistensi dari segi warna,” katanya.

Khalid berkata ikon yang diletakkan adalah Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) dan Masjid UKM kerana ianya adalah salah satu bangunan yang terawal dan merupakan lambang UKM selain graduan mendapat pengiktirafan (graduasi) di dewan tersebut.

“Sebelum saya bekerja di UKM, saya ada matlamat saya sendiri iaitu mahu melakar sejarah kehidupan saya di sini. Saya kena ada satu benda (perkara yang dibuat) yang sampai bila-bila pun saya akan kenang dan salah satu daripadanya adalah logo yang saya cipta ini,” katanya.

Beliau berkata, hasrat menyertai pertandingan tersebut telah bermula pada peringkat awal dirinya berkhidmat di UKM iaitu sejak tahun 2000.

“Saya melihat (pertandingan) ini bukan untuk menang atau mendapatkan hadiah, sebaliknya saya memikirkan impression dalam logo itu, supaya suatu masa nanti apabila saya dah bersara saya ada sesuatu yang boleh diingati iaitu kemenangan ini,” katanya yang turut memenangi pertandingan mereka cipta logo sempena ulang tahun ke-40 UKM.

Pertandingan Mereka Cipta Logo Sambutan Jubli Emas UKM dibuka penyertaannya mulai 1 Januari 2019 hingga 15 Februari 2019 dan lebih 200 penyertaan telah disertai oleh seluruh rakyat Malaysia.

Atas kemenangan itu, Khalid menerima RM3,000 dan sijil penyertaan.