Persidangan e-ASCCC 2020 Kongsi Cabaran Ekonomi APEC dalam Norma Baharu Pasca Pandemik


Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 September 2020 – Persidangan Konsortium Pusat Pengajian e-APEC 2020 (e-ASCCC 2020) yang diadakan baru-baru ini membincangkan cabaran ekonomi APEC dalam norma baharu pasca-pandemik.

Selain itu, persidangan tersebut adalah medan untuk berkongsi pengetahuan, bertukar amalan dan pengajaran yang baik mengenai kemajuan dalam mencapai pertumbuhan yang inklusif, berkesinambungan dan kesejahteraan bersama.

Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar semasa menyampaikan ucaptama persidangan tersebut berkata, dalam taklimat dasar yang dikeluarkan oleh Sekretariat APEC bertajuk APEC in the Epicentre of Covid-19, pandemik tersebut telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi wilayah menurun sebanyak 2.7 peratus pada tahun ini, berbanding tahun lepas iaitu 3.6 peratus.

“Pengurangan pertumbuhan ini disifatkan sebagai kerugian output yang dianggarkan sebanyak USD 2.1 trilion kerana kejatuhan ekonomi akibat wabak tersebut. Jelas wabak ini menyebabkan kesan yang teruk terhadap kehidupan apabila dianggarkan kira-kira 23 juta penduduk menjadi penganggur pada tahun ini.  

“Kejutan ini belum pernah terjadi terhadap ekonomi global yang memerlukan tindak balas serantau dengan baik terhadap pemulihan sosioekonomi, termasuk sokongan yang lebih besar untuk sistem penjagaan kesihatan dan peningkatan perlindungan sosial,” katanya. 

Beliau berkata, visi pasca 2020 untuk APEC harus terus menyumbang kepada dinamik dan kemakmuran rantau Asia Pasifik melalui dasar-dasar yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang menghasilkan kemakmuran, meningkatkan pendapatan, memberi peluang ekonomi, mengurangkan kemiskinan dan memperbaiki kehidupan individu. 

“Walaupun pertumbuhan sahaja tidak menjamin bahawa semua individu berkongsi manfaatnya, tetapi ia perlu untuk menjana sumber fiskal dan ruang politik yang diperlukan oleh pemerintah untuk menyokong dasar pengedaran, penyesuaian dan perlindungan sosial,” ujarnya.

Tan Sri Abdul Wahid berkata, APEC adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau dan global, dan penyumbang utama seni bina ekonomi serantau perlu bersama dengan kepemimpinan global dalam menangani cabaran ekonomi yang paling mendesak. 

“Saya berharap agar persidangan ini akan memberi inspirasi kepada kita untuk bertukar amalan dan pengajaran yang baik mengenai kemajuan dan cabaran yang dihadapi oleh ekonomi APEC dalam mencapai pertumbuhan yang inklusif, berkesinambungan dan kemakmuran bersama, terutama dalam menghadapi pasca pandemik dengan normal baru.

Persidangan sehari anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM adalah  pertama kali diadakan secara atas talian dengan menghimpunkan sejumlah peserta dari pelbagai negara bertemakan “Optimizing Human Potential Towards A Resilient Future of Shared Prosperity. Pivot. Prioritise. Progress

Antara yang hadir secara fizikal dan atas talian ialah Felo Diraja UKM, Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tunku Muhriz, Profesor Adjung IKMAS, Ambassador Muhammad Noor Yacob, Pengarah Eksekutif IKMAS, Prof Dato’ Dr Rashila Ramli dan Pengarah Pusat Kajian China dan Asia Pasifik, University of the Pasific , Limo-Peru, Dr Rosario Santa Gadea.