Peserta UKM Menang Dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
PUTRAJAYA, 8 Ogos 2015 – Peserta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Maher G.M. Abdolrasol dari Libya mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2015 bagi kategori pelajar asing di Malaysia, di sini hari ini.
Warganegara Mesir Mahmoud Abdel Fattah Ibrahim Essa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dinobatkan juara, manakala wakil Universiti Putra Malaysia (UPM) dari Iraq Waleed Basil Mohammed Ali muncul naib johan.
Dalam kategori antarabangsa Joshua Parfitt dari Britain muncul sebagai johan, manakala Emma Cecilia Roberts dari Australia pula, merebut gelaran naib johan dan Wyatt Evan Gordon dari Amerika Syarikat di tempat ketiga.
Parfitt, pelajar Universiti of London yang tampan dihiasi baju Melayu dan songket serta lengkap bertengkolok warna jingga memilih tajuk ‘Penyelesaian Sudah Ada Di Persekitaran Kita’.
Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai AS$7,000 (RM27,500), Piala Perdana Menteri, piala iringan, hadiah sampingan dan sijil manakala naib johan membawa pulang hadiah wang tunai AS$5,000 (RM19,600). Pemenang tempat ketiga pula membawa pulang AS$3,000 (RM11,700).
Sementara itu, Mohd. Akmal Aizat Umar dari Malaysia diumum sebagai juara bagi kategori Alam Melayu. Beliau mengatasi dua lagi peserta dalam pertarungan hebat, rakan senegaranya Then Siaw Lian (naib johan) dan Awabeen Samsuding dari Thailand (tempat ketiga).
Hadiah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pertandingan akhir itu yang turut disiarkan secara langsung menerusi TV1.
PABM 2015 yang memasuki tahun ke 9 disertai 71 pelajar yang mengambil jurusan pengajian bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh dunia dan telah berlangsung sejak 4 Ogos lalu.