Pesta Konvo Ke- 44 Membawakan Kelainan

ust-fakrul-razi
Oleh Elvi Suraya

BANGI, 9 November 2016 – Dataran Panggung Seni dialuni dengan bacaan al-Quran dan nyanyian nasyid pada malam kedua Pesta Konvo yang ke-44 bersempena dengan program UKM Selawat.

UKM Selawat dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah yang dikendalikan oleh Ustaz Fakhrul Razi. Ceramah juga diadakan sebagai selingan antara masa selepas solat Maghrib dan sebelum masuknya azan Isyak.

Menurut Ketua Program Pesta Konvo, Muhamad Shukri, Pesta Konvo kali ini  menjanjikan kelainan apabila terdapat slot-slot kerohanian seperti ceramah yang temanya bersesuaian dengan semua lapisan masyarakat.

Malah, menurutnya lagi, Pesta Konvo ke 44 menjalankan program yang tidak hanya melibatkan warga UKM, malah turut melibatkan masyarakat setempat.

“Program UKM Selawat ini bagus dianjurkan kerana ianya boleh mengisi masa lapang pelajar dan tidak hanya tertumpu kepada hiburan semata, malah program ini juga sebagai salah satu inisiatif untuk mengingat Tuhan,” kata Kamarul Farrisha, pelajar Fakulti Pengajian Islam.

Aina Syafira, pelajar tahun tiga Fakulti Ekonomi dan Perniagaan berkata “Program ini mendapat sambutan yang meriah jika dibandingkan dengan program Islamik yang lain, malah pengisian tentatifnya juga penuh dari Maghrib sehingga malam.”

Bagi Zainab Selamat, 56, pula, program seperti ini dapat menambahkan pahala dan merapatkan hubungan silaturahim antara pelajar dengan masyarakat setempat.

“Suasana yang diwujudkan juga sangat santai dan pengisian ceramah berkaitan sirah Nabi dan perjuangannya dapat menimbulkan rasa keinsafan,” katanya.ukmnewsportal-bm