PKW Lancar Buku Pergerakan Wanita Dalam Memperjuangkan Hak

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 9 Disember 2016 – Pusat Kepimpinan Wanita (PKW) Tun Fatimah Hashim telah melancarkan sebuah buku bertajuk ‘Pergerakan Wanita Dalam Memperjuangkan Hak’ yang ditulis oleh dua tokoh ilmuan tanah air iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim dan Dr Rokiah Talib.

Buku tersebut berkisarkan tentang peranan wanita serta hak-hak mereka dalam pembangunan negara.

Selain itu, penulis juga turut menyingkap sejarah pergerakan serta perjuangan wanita tempatan pada peringkat awal yang berjuang bagi memartabatkan kedudukan wanita dalam keluarga dan masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Senator Datin Paduka Chew Mei Fun berkata inisiatif penerbitan buku yang dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuktikan bahawa KPWKM tidak bersendirian dalam perjuangannya untuk memperkasakan salah satu golongan sasar KPWKM iaitu wanita.

“Melalui penerbitan buku ini, secara jelas kita dapat melihat bahawa usaha memperkasakan hak wanita tidak hanya menjadi agenda kerajaan semata-mata.

“UKM sendiri, sebagai contoh, sentiasa bersama-sama menyokong dan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk manfaat kumpulan sasar KPWKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran buku tersebut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata seiring dengan peredaran masa, wanita perlu mempunyai penguasaan ilmu yang luas, sikap proaktif, kaya moral, mempunyai budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan mampu menerajui pembangunan yang bersifat holistik.

“Jadi, saya berharap agar buku ini akan memberi pemahaman yang luas terhadap usaha-usaha memperjuangkan hak wanita di negara kita,” katanya.ukmnewsportal-bm
2