PM: Langkah-langkah Bijak Tangani Kenaikan Kos Sara Hidup
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 9 Mei 2015 – Dasar-dasar dan langkah-langkah berhemat untuk menangani kenaikan kos sara hidup dilaksanakan supaya tidak membebankan orang ramai, terutamanya remaja.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah, termasuk pendidikan yang berkualiti, perkhidmatan kesihatan dan projek membina rumah mampu milik.
Kos sara hidup adalah satu kebimbangan utama bagi setiap keluarga. Oleh itu kerajaan komited untuk menangani isu ini melalui dasar-dasar dan langkah-langkah.
“Mungkin langkah-langkah masih belum lengkap, tetapi terdapat banyak usaha (oleh kerajaan) yang diketahui, dan banyak yang tidak diketahui, secara langsung dan tidak langsung,” kata Najib.
Berucap merasmikan forum Sidang Meja Bulat dan Bicara Kos Sara Hidup Pemikir Muda Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini, Perdana Menteri berkata kerajaan telah menyediakan peluang pendidikan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia, dan memberi jaminan bahawa pendemokrasian pendidikan diteruskan bagi mewujudkan masyarakat intelek.
Perbincangan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Pemikir Muda Malaysia (PPM) dan Pusat Pembangunan Mahasiswa & Perhubungan Alumni UKM untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan beban kewangan di negara ini.
Menjadikan sektor pendidikan tinggi sebagai contoh, beliau berkata sudah ada unsur subsidi oleh kerajaan yang dinikmati golongan pelajar seperti tiada kenaikan yuran pengajian di universiti.
Malah, Najib menarik perhatian bahawa secara purata kerajaan menanggung sebanyak 90 peratus kos pengajian tinggi di negara ini manakala pelajar hanya membiayai 10 peratus sahaja kos tersebut.
“Jika tidak mampu menanggung kos 10 peratus itu, kerajaan menyediakan pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan ada antara pelajar kita yang mendapat biasiswa,” katanya.
Beliau menyifatkan bantuan itu sebagai pendemokrasian pendidikan yang mana peluang pendidikan yang berkualiti tidak bergantung kepada keupayaan kewangan tetapi keinginan dan tekad untuk belajar.
Beliau berkata ia adalah berbeza di negara-negara lain di mana remaja tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi disebabkan oleh kos yang tinggi.
Turut hadir pada majlis ini Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan Naib Canselor Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal (Pelajar dan Alumni) dan Prof Dr Imran Ho Abdullah (Jaringan Industri dan Masyarakat), isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.