PPI UKM Bantu Golongan Asnaf Malaysia.
Oleh Mansurni Abadi
Foto Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
PETALING JAYA, 2 Mac 2020 – Persatuan Pelajar Indonesia Universiti Kebangsaan Malaysia (PPI UKM) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menjalankan program sosial kemasyarakatan yang bertujuan untuk membantu asnaf di Malaysia.
Program yang disertai seramai enam orang ahli itu telah menghantar 100 bungkusan makanan dan barang-barang keperluan secara percuma kepada golongan asnaf di sekitar Kuala Lumpur.
Pelajar Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) dari Lombok, Indonesia, Zahra gembira kerana dapat bekerjasama dengan NGO bagi membantu meringankan beban serta menangani masalah sosial di negara ini.
Katanya, kerjasama itu membuktikan semangat yang tinggi selain dapat berbakti kepada masyarakat di Malaysia.
Sementara itu, Mansurni Abadi, pelajar dari Lampung, Indonesia berkata program itu telah mencipta pengalaman serta menjalinkan hubungan yang baik diantara dua negara.
Katanya, program tersebut menjadi sebuah citra yang baik untuk UKM kerana melahirkan mahasiswa yang mengambil berat mengenai masalah-masalah sosial.
PPI UKM adalah sebahagian daripada persatuan pelajar pengajian tinggi di luar negara tidak hanya memfokuskan kepada akademik semata-mata, tetapi juga kehidupan sosial masyarakat serta membina hubungan baik antara dua negara.
PPI UKM yang ditubuhkan pada 2006 telah berjaya menjalin hubungan baik dengan warga UKM dan luar UKM serta mempunyai ahli-ahli yang berpegang kepada prinsip berbakti dan membela selaras dengan prinisip UKM sendiri iaitu menggabungkan antara ilmu dan amal.