PPTC UKM Sasar Untuk Tawarkan Pelancongan Pendidikan
Oleh Radzuan Ghazali
Foto : Ahmad Shahiddan Saidi
TASIK CHINI, 31 Januari 2017 – Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), UKM akan menawarkan perkhidmatan pelancongan berbentuk pendidikan (Education Tourism) sebagai salah satu aktiviti untuk menarik minat orang ramai mengujungi dan mempelajari keunikan tasik Chini.
Pengarah PPTC, Prof Dato’ Sri Dr Mushrifah Idris berkata, pelancongan berteraskan pendidikan antara salah satu teras PPTC.
Menurut Prof Dr. Mushrifah, Tasik Chini yang berkeluasan hampir 600 hektar ini mempunyai tiga fungsi utama – iaitu sebagai pemuliharaan biodiversiti, pembangunan alam sekitar dan sokongan logistik – mempunyai daya tarikan yang unik masih belum diketahui oleh orang ramai.
Justeru itu, sebagai pusat yang yang menjalankan pelbagai penyelidikan sains dan kerja lapangan kepelbagaian biologi, PPTC merancang untuk meneruskan kajian dan pembelajaran sebagai pusat sains terunggul dengan menjadikannya sebagai makmal hidup.
Beliau menambah, kewujudan tasik kedua terbesar ini selepas Tasik Bera mempunyai lagendanya tesendiri dengan nama yang dikenali sebagai Sri Gumum sebagai penjaga tasik.
Namun begitu, bukti-bukti tersebut masih belum terungkai dan kekal sebagai misteri yang masih belum dibuktikan oleh para pengkaji, kata beliau.
Beliau berkata, PPTC juga bekerjasama dengan masyarakat orang Asli Jakun dalam mengketengahkan budaya mereka bagi pengetahuan masyarakat.
“Saya percaya PPTC UKM berupaya menjadi pusat tarikan pelancong yang mampu menarik para pengunjung, pelawat dan pelancong luar untuk mengetahui lebih lanjut akan keunikan dan keaslian tasik ini,” ujar beliau.