Prof Dato’ Dr Mohamad Amin Embi Ketuai Jawatankuasa Anugerah Pemikiran dan Reka Bentuk Pendidikan Tinggi Malaysia 2017


Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI. 27 Januari 2017 – Pengarah Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia (Pengajaran UKM), Prof Dato’ Dr Mohamad Amin Embi akan mengetuai jawatankuasa Anugerah Pemikiran dan Reka Bentuk Pendidikan Tinggi Malaysia 2017.

Lantikan Prof Dato’ Dr Mohamad Amin sebagai ketua jawatankuasa anugerah tersebut adalah berdasarkan kejayaan beliau menerima beberapa anugerah antarabangsa melalui Massive Open Online Course (MOOC) termasuk menerima anugerah Open MOOC Award untuk inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) daripada Open Education Consortium di Poland tahun lepas.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata jika dahulu mahasiswa adalah penerima ilmu semata-mata, tetapi kini mereka adalah penghasil ilmu bersama.

“Jadi, kita perlu memikirkan semula reka bentuk pengajaran dan pembelajaran pendidikan tinggi di mana pembelajaran lebih aktif, lebih interaktif dan lebih immersive serta bersifat cabaran dan permainan peranan.

“Hanya dengan cara ini kita dapat mencapai apex matlamat pendidikan dalam Bloom’s Taxonomy iaitu bukan hanya untuk mengingati tetapi untuk mencipta,” katanya ketika menyampaikan Amanat 2017 Menteri Pendidikan Tinggi di sini baru-baru ini.

Beliau berkata kementerian menubuhkan anugerah tersebut bagi merialisasikan reka bentuk interaktif pengajaran di Malaysia.

Katanya, kini lebih 250 MOOC telah dihasilkan dan ditawarkan oleh universiti awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti.

“Lebih 220,000 pelajar daripada 170 negara telah mengikuti kursus Malaysia MOOC dengan enrolmen antarabangsa tertinggi adalah pelajar dari Australia dan USA,” katanya.