Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani Dilantik Sebagai TNC P&I yang Baharu


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 21 Jun 2022Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu berkuat kuasa 3 Jun 2022, menggantikan Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad  yang telah tamat tempoh pelantikan pada 26 Mei 2022.

Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal, sebelum ini menjalankan tugas sebagai Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat pada tahun 2021 sebelum dilantik ke jawatan sekarang.

Untuk rekod, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting di UKM, antaranya ialah Pengarah Eksekutif Pusat Strategi, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Timbalan Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Timbalan Pengarah Pusat Kembangan Pendidikan (PKP), UKM Holdings Sdn. Bhd., Felo Bersekutu, Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB),  dan beberapa jawatan lain.

Anak kelahiran Sungai Besi, Selangor ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1992 dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sejarah dan Bahasa Arab dari UKM pada tahun 1997, manakala beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dan Tamadun Islam pada tahun 2005 dari University of Manchester, United Kingdom.

Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal mempunyai pengalaman selama 27 tahun dalam bidang akademik seperti Sejarah dan Tamadun Islam, Pensejarahan Muslim dan Teks dan Sumber Arab dalam Sejarah Islam. Minat penyelidikan utama beliau adalah dalam bidang Pensejarahan Islam dan Sejarah Ekonomi di Timur Tengah, Levant & Mediterranean.

Pada masa ini, beliau sedang giat menjalankan penyelidikan tentang Muslim Kontemporari seperti Kelas Menengah Muslim, Syiling Dinar dan Mata Wang, Ekstremisme dan Keganasan, Kesederhanaan/Wasatiyyah, The Bottom 40, Arab Spring, Wakaf Pendidikan Tinggi, Federalisme di Malaysia, Indeks Syariah, Telaga Mampan dan banyak lagi.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas keputusan pelantikan tersebut.

“UKM turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab  atas sumbangan dan kepemimpinan beliau dalam menerajui penyelidikan dan inovsi UKM sebelum ini.

“Saya berharap Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal dapat meneruskan kecemerlangan kepimpinan dalam menyerlahkan lagi penyelidikan dan inovasi universiti watan ini,” katanya.