Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa Dilantik Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik Dan Antarabangsa UKM yang Baharu
BANGI, 17 April 2018 – Pro Naib Canselor (Strategi dan Pembangunan Korporat) yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik Dan Antarabangsa) yang baharu menggantikan Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah Ok Rahmat yang telah tamat tempoh pelantikan pada 22 Januari 2018 yang lalu.
Pelantikan Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki adalah untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa dari 15 April 2018 sehingga 14 April 2021. Pelantikan beliau menurut surat dari Menteri Pendiidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh bertarikh 6 April 2018 adalah di bawah peruntukan Seksyen 12(6) Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Prof. Dato’ Dr Ir Mohd Marzuki, 56, berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dari University of Tasmania, Australia dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Perisian) dari University of Manchester, United Kingdom di bawah Institute of Science and Technology dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang yang sama dari University of Salford, England.
Beliau adalah seorang jurutera profesional dan pernah memegang beberapa jawatan di UKM seperti Pengarah Biro Rundingan dan Inovasi, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektonik dan Sistem, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Pengarah Ekskutif Pusat Strategi dan Pro-Naib Canselor (Strategi dan Pembangunan Korporat). Selain itu, beliau pernah menjadi Pengerusi Majlis Dekan Kejuruteraan IPTA Malaysia dan Presiden Persatuan Pendidikan Kesejahteraan Malaysia.
Naib Canselor, Prof Tan Seri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kesinambungan pertukaran tugas Timbalan Naib Canselor akan berterusan kerana siapa yang dilantik perlu memegang tanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas Universiti.
Katanya, mereka yang dipilih mempunyai tanggungjawab dalam membawa UKM ke arah Universiti yang menjadi pilihan rakyat dan hebat serta mempunyai nilai tinggi dalam apa juga tugas yang dilaksanakan.
“Saya percaya lantikan ini adalah amanah yang perlu dipikul dalam menjayakan misi untuk Universiti melahirkan graduan yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Tugas Timbalan Naib Canselor hari ini.