Prof Ir Dato’ Dr Othman A. Karim, TNC HEPA UKM yang Baharu


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 22 April 2019 – Prof Ir Dato’ Dr Othman A. Karim, Profesor di Pusat Penyelidikan Bandar Pintar dan Lestari (SUTRA), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni –  HEPA) yang baharu, berkuatkuasa 22 April 2019.

Pelantikan beliau selama tiga tahun sehingga 21 April 2022, menggantikan Prof Madya Dr Roslee Rajikan yang tamat tempoh pelantikan pada 19 April lalu.

Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan Darul Khusus itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Toledo, Ohio, Amerika Syarikat (1986), seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Awam Maritim dari University of Liverpool, United Kingdom (1988) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Awam Maritim dari universiti yang sama pada tahun 1996.

Prof Ir Dato’ Dr Othman yang sebelum ini pernah menyandang jawatan TNC HEPA UKM pada tahun 2011 hingga 2014 juga telah menjawat beberapa jawatan tinggi di UKM sebelum ini termasuk menjadi Pengarah Teknologi Maklumat dari tahun 2006 hingga 2011 dan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dari tahun 2007 hingga 2014.

Selain itu, beliau yang juga pakar dalam bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Pantai dan Hidraulik Persekitaran adalah Jurutera Profesional dan Perunding Berdaftar Kajian Alam Sekitar (EIA).

Antara jawatan profesional di luar UKM yang pernah disandangnya ialah Ahli Jawatankuasa ICT, Lembaga Jurutera Malaysia dari tahun 2017 hingga kini, Ahli Jawatankuasa Permohonan Lembaga Jurutera Malaysia dari tahun 2016 hingga kini, Ahli Jawatankuasa Teknikal Kepakaran ICT Sektor Awam, MAMPU dari 2014 hingga kini, Ahli Panel Penilai Inisiatif Board Effectiveness Assessment (BEA),Kementerian Pendidikan Malaysia dari 2016 hingga 2020 dan Panel Pakar Projek Dana Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersilan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari 2016 hingga 2020 serta Panel Penilai (bidang Maritim), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dari 2014 hingga kini.