Prof Ir Dr Mohd Hamdi Naib Canselor UKM yang Baharu
Oleh Inaara Aznan
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 3 Januari 2019 – Mantan Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor secara rasminya telah memulakan tugas sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu berkuatkuasa 1 Januari 2019.
Beliau yang merupakan Naib Canselor UKM ke-11 telah menerima dokumen serahan tugas daripada mantan Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali yang telah tamat tempoh pelantikan pada 31 Disember 2018 lalu.
Dalam Majlis Penyerahan Tugas Naib Canselor yang diadakan di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran UKM baru-baru ini, Prof Ir Dr Mohd Hamdi berkata, agenda utama adalah dari segi aspek penjanaan pendapatan kerana tanpa sumber pendapatan, banyak perancangan tidak dapat dilakukan.
“Selain dari penjanaan, saya juga akan memberi komitmen sepenuh kepada pengukuhan Bahasa Melayu kerana saya percaya nadi UKM adalah Bahasa Melayu, disamping mengukuhkan agenda research university yang merupakan teras kepada kerja keras kita pada harini ini,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Tugas Naib Canselor UKM di Bilik Senat berkenaan.
Katanya, beliau percaya dengan kerjasama yang diberikan dari pelbagai pihak akan dapat membawa UKM menjadi universiti yang hebat.
Sementara itu, mantan Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan berharap Prof Ir Dr Mohd Hamdi dapat memastikan UKM akan terus menjadi lebih hebat dan luar biasa.
Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Wahid Omar mengucapkan terima kasih kepada Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan kerana telah berkhidmat dengan jayanya selama lima tahun di UKM.
Saya berharap agar kita semua dapat memberi sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada Naib Canselor yang baharu kerana kecemerlangan UKM adalah untuk warga UKM bersama,” tambahnya.
Prof Ir. Dr. Mohd Hamdi pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor di Universiti Malaya dari tahun 2011 sehingga 2014.