Program Bimbingan Usahawan Siswa UKM Bendung Pengangguran Graduan
Oleh Farah A’lia Abdul Manan
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 23 Jun 2021 – Program Bimbingan Usahawan Siswa UKM anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED) mampu membendung masalah pengangguran dalam kalangan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kata Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim.
Beliau berkata, senario ekonomi semasa disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat.
“Hal ini telah menyebabkan peluang pekerjaan yang ada tidak mampu menampung jumlah graduan yang dihasilkan saban tahun dan para graduan terpaksa bekerja keras untuk menjana pendapatan sendiri.
“Pelajar perlu mempunyai jati diri usahawan yang sentiasa peka dengan penjanaan pendapatan serta penjimatan kos,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Program Bimbingan Usahawan Siswa UKM yang diadakan secara dalam talian, semalam.
Menurutnya lagi, seiring dengan matlamat UKM sebagai universiti watan, program itu mampu melahirkan graduan berminda keusahawanan agar mereka dapat membantu negara mencipta pekerjaan.
“Inisiatif ini berperanan untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar UKM dalam mengasah pemikiran serta kemahiran keusahawanan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa program yang dilaksanakan sejak tahun lepas menyasarkan mahasiswa yang berminat menjalankan perniagaan melalui kumpulan-kumpulan sokongan sehingga menjadi usahawan yang berjaya dalam memasarkan produk mereka dalam pasaran.
Sementara itu, Timbalan Pengarah UKM-CESMED, Dr. Muhamad Azry Khoiry berkata hampir 1,000 orang pelajar berminda keusahawanan telah dilahirkan sejak program itu dilaksanakan.
“Sepanjang dua tahun menjalankan program ini, antara 600 hingga 1,000 orang pelajar telah berjaya mencipta dan mencari peluang perniagaan,” katanya.
Majlis yang diadakan melalui aplikasi Webex itu dihadiri oleh pelajar UKM yang telah berjaya dalam bidang keusahawanan melalui program yang dijalankan.