Program Bootcamp Wanita Bakal Lahirkan Pemimpin Berkaliber
Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto IKhwan Hashim
BANGI, 4 Mac 2019 – Program Bootcamp Wanita Muda dirangka khas atas inisiatif terhadap Pencapaian Gagasan Matlamat Pembangunan Lestari sebagai persediaan memenuhi 30 peratus komposisi wanita muda dalam sektor awam dan korporat.
Program yang disertai oleh 43 orang peserta wanita berumur 18 hingga 30 tahun daripada pelbagai latar belakang bertujuan memperkenal dan melatih wanita kepada ilmu kepimpinan, memahirkan pemimpin wanita menguasai penggunaan teknologi dan media sosial dalam mendepani Revolusi Industri ke-4.
Menurut Ketua Pengarah Program Bootcamp Wanita, Sharifah Norizah Syed Ahmad Kabeer, program itu melatih peserta untuk serlahkan bakat kepimpinan dengan keadaan semasa serta memberi pendedahan kepada elemen-elemen kepimpinan efektif seperti kemahiran komunikasi dan teknologi.
“Dalam program ini, pendedahan yang diberikan kepada peserta adalah merangkumi aspek kepimpinan seperti konsultasi imej diri, prortokol dan etika sosial, mengarusperdanakan dan kesaksamaan gender, jejak digital pemimpin dan sebaginya.
“Program seumpama ini juga mendedahkan peserta tentang kaedah menangani konflik organisasi dan kemahiran komunikasi yang efektif sebagai seorang pemimpin dan mengikut keperluan dunia semasa seperti kemahiran teknologi supaya kepimpinan lebih efektif dan relevan pada masa kini,” jelasnya.
Sementara itu, seorang peserta yang mewakili Organisasi Borneo Komrad, Wan Shakila Wan Azmi berkata, program tersebut membuka ruang untuk mempelajari ilmu baru berkaitan kemahiran kepimpinan yang efektif dan mengenali lebih banyak rakan baru.
“Program ini adalah program terbaik yang pernah saya ikuti. Banyak perkara yang saya belajar dan saya harap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Seorang lagi peserta, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Elvina Carmella Bahanang Ungan yang mewakili Persatuan Serangkup Indu Dayak Sarawak (SIDS) berkata, beliau menyifatkan program Bootcamp Wanita Muda itu unik kerana fokusnya ingin melatih wanita muda sebagai pemimpin negara.
“Melalui program ini, kami diberi pendedahan betapa pentingnya peranan wanita dalam pembangunan Negara selain saya mampu mengenali dan menyediakan master plan bagi membantu masyarakat di Malaysia melalui Matlamat Pembangunan Lestari SDG’s,” ujarnya.
Program Bootcamp Wanita Muda yang telah berlangsung selama lima hari bermula 25 Februari sehingga 1 Mac lalu adalah kolaborasi antara Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) UKM dengan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Kuala Lumpur, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Belia Malaysia dan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MHM).
Sepanjang tempoh tersebut, peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk lawatan ke Putrajaya dan program ceramah di UKM. Program tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah PKWTFH, Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak.