Program Duta Jauhar Untuk Siswa/Siswi Laksana Rancangan Rakyat
Laporan dan Foto Oleh Abd Ra’ai Osman
BANGI, 9 Julai 2015 – Anak Johor yang menuntut di universiti tempatan termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disaran menyumbang idea dan tenaga dalam membangunkan sosio-ekonomi masyarakat negeri tersebut melalui Program Duta Jauhar.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin penganjuran program Duta jauhar yang masuk tahun kedua tersebut telah memberi manfaat bukan sahaja kepada mahasiswa malah masyarakat setempat.
“Ia platform utama bagi tujuaan itu melibatkan pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat di 10 daerah di negeri ini,” kata Khaled ketika menutup Kongres Duta Jauhar 1.0 yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada 15 Mei lalu.
Program anjuran kerajaan negeri Johor di bawah kelolaan Yayasan Pelajaran Johor itu melibatkan seramai 330 orang mahasiswa Johor dari 20 Universiti Awam dan swasta di seluruh Malaysia antaranya UKM, UTM, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Tun Hussein Onn.
“Saya menyeru penggembelengan tenaga, usaha, pemikiran, idea, keringat setiap orang untuk kita bersama-sama membangunkan Johor dan Malaysia. Setiap warga, setiap penduduk, setiap jiwa. Setiap orang terutamanya golongan mahasiswa Johor. Kerana kita tidak boleh menjadi apa yang saya panggil ‘a walk-on-by society’. Iaitu masyarakat yang hanya tunggu-dan-lihat, yang hanya terima-dan-sebat,” tambah Khaled.
Mengguna pakai pendekatan Strategi Lautan Biru, program tersebut mensasarkan belia, pelajar, usahawan industri kecil dan sederhana, rakyat berpendapatan rendah, masyarakat orang asli dan ibu tunggal untuk menerima bantuan.
Sementara itu Naib Canselor UKM Prof. Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dalam ucapan aluannya berkata, berkata kerajaan berikhtiar melahirkan generasi baru yang bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian akademik, malah individu berketerampilan, berkeyakinan serta mempunyai kemahiran komunikasi yang baik yang sentiasa berusaha untuk memajukan dirinya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Kata Prof Noor Azlan lagi, dengan penerapan program Duta Jauhar, ia dapat memberi peluang kepada mahasiswa/ mahasiswi sejajar dengan usaha untuk melahirkan pelajar yang cemerlang serta mempunyai jati diri yang unggul.
Turut hadir pada majlis tersebut Exco Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Md Jais Sarday dan Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor, Onn Jabbar.